Prestasi kewangan EWI Capital terjejas bagi 3QFY26 akibat tekanan pasaran hartanah di Britain dan Australia

Business & FinanceProperty
25 Sep 2026 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prestasi kewangan EWI Capital terjejas bagi 3QFY26 akibat tekanan pasaran hartanah di Britain dan Australia Image from: Prestasi kewangan EWI Capital terjejas bagi 3QFY26 akibat tekanan pasaran hartanah di Britain dan Australia amree25/09/2026 - 17:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Sept — EWI Capital Berhad terus berdepan tekanan pasaran hartanah di Britain dan Australia dengan mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) RM13.27 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Julai 2026 (3QFY26), berbanding RM7.87 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Jelasnya, antara faktor utama yang menekan prestasi kewangan itu ialah kejatuhan harga kediaman di London, kos pembinaan masih kekal tinggi dan peningkatan kadar faedah di Australia, selain ketiadaan pelancaran projek baharu serta pengurangan inventori siap.

 

Tekanan itu turut diburukkan dengan kerugian akibat penurunan nilai aset mencecah RM6.57 juta ke atas jumlah tertunggak daripada projek usaha sama (JV) di Britain bagi tempoh suku berkenaan, yang menyebabkan LBT kumpulan berkenaan terus melebar secara ketara.

 

"Bagi sembilan bulan pertama FY26, LBT naik kepada RM54.99 juta berbanding RM9.13 juta dalam tempoh sama FY25, susulan penurunan aset di Australia (RM13.75 juta), pengurangan nilai aset JV EWL Living (RM20.27 juta) serta kos pembiayaan pinjaman," kata EWI Capital.

 

Dalam menghadapi tekanan tersebut, kumpukan kini mengubah strategi daripada tumpuan pembangunan kediaman kepada pemilikan aset komersial bernilai tinggi yang mampu menjana pendapatan berulang, selain mempercepatkan penjanaan nilai aset bagi mengukuhkan aliran tunai.

 

Ujarnya yang sebelum itu pernah dikenali sebagai Eco World International Berhad, bagi 3QFY26, kerugian selepas cukai (LAT) boleh diagihkan kepada pemilik syarikat tersebut berjumlah RM13.22 juta, iaitu bersamaan kerugian asas sesaham kira-kira 0.55 sen.

 

EWI Capital_DagangNews2026

 

Bagaimanapun, kumpulan merekodkan jualan RM34.7 juta dalam tempoh 10 bulan pertama FY26, atau RM44.5 juta termasuk tempahan RM9.8 juta. Setakat 31 Ogos 2026, kira-kira 99% unit dilancarkan sudah dijual, manakala baki inventori siap bernilai sekitar RM92 juta.

 

"Sebagai sebahagian strategi pendapatan berulang, EWI Capital melabur A$100 juta (RM286 juta) dalam TrustCapital Australian Office Fund No.3 (AOF3), yang menyelesaikan pengambilalihan bangunan komersial 750 Collins Street di Melbourne pada Mei 2026," katanya.

 

Tambahnya, bangunan berkeluasan 41,000 meter persegi itu kemudian disewakan sepenuhnya kepada Monash University sehingga 2035 menerusi pajakan dalam jangka panjang, yang dijangka menyediakan aliran tunai secara lebih stabil kepada kumpulan.

 

Pada masa sama, EWI Capital meneruskan cadangan menjual 100% pegangan dalam Eco World (Macquarie) Pty Ltd kepada Versione NODE Sdn Bhd dengan pertimbangan tunai A$32 juta (RM92 juta), dengan tempoh syarat terdahulu dilanjutkan sehingga 13 Disember 2026.

 

Hasil pelupusan berkenaan ujarnya, akan digunakan semula terutama bagi membayar balik sebahagian daripada pinjaman bank sebanyak RM200.22 juta yang diambil untuk membiayai pelaburan AOF3.

 

"Bagi empat projek yang masih berbaki di Britain, pelan pembangunan Griffin Park di Kew Bridge sudah diluluskan, manakala tapak Duffy dijangka menerima kelulusan perancangan pada FY27," katanya.

 

Lembaga Pengarah EWI Capital masih menilai sama ada meneruskan pembangunan Griffin Park atau melupuskan tapak iru bagi mempercepatkan penunaian aset, sambil menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar akibat ketegangan geopolitik dan tekanan inflasi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved