liza28/09/2026 - 10:14 Kumpulan GIS RedPlanet Berhad ketika memeterai perjanjian taja jamin dengan UOB Kay Hian (M) Sdn. Bhd untuk IPO di Pasaran ACE Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept – RedPlanet Berhad menyasarkan untuk meraih RM13.3 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 70 juta saham baharu pada harga 19 sen sesaham, susulan rancangan syarikat itu berpindah daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Berdasarkan prospektus, 70 juta saham baharu itu mewakili kira-kira 17.05% daripada modal saham diperbesarkan RedPlanet sebanyak 410.65 juta saham selepas IPO. Pada harga 19 sen sesaham, nilai pasaran syarikat selepas penyenaraian dianggarkan RM78.02 juta.
Daripada RM13.3 juta hasil IPO itu, sebanyak RM8.125 juta atau 61.09% akan digunakan untuk peluasan perniagaan, RM2.375 juta bagi modal kerja dan RM2.8 juta untuk membiayai anggaran perbelanjaan berkaitan perpindahan penyenaraian.
RM8.1 juta untuk peluasan perniagaan
Bagi peruntukan peluasan perniagaan, sebanyak RM6 juta akan digunakan untuk pembelian bahan dan perkhidmatan subkontraktor, RM1.625 juta untuk bon pelaksanaan dan RM500,000 bagi pembangunan perniagaan serta pemasaran.
RedPlanet juga mempunyai tempahan bernilai RM51.74 juta setakat tarikh prospektus, yang terdiri daripada penyediaan penyelesaian geospatial dan penyelesaian sistem rel pintar.
Syarikat itu menjalankan tiga aktiviti utama iaitu penyediaan penyelesaian geospatial, penyelesaian sistem rel pintar serta perdagangan penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perkakasan berkaitan.
Perkhidmatan geospatial melibatkan pengumpulan, analisis dan pemprosesan data berkaitan lokasi untuk kegunaan seperti perancangan operasi, navigasi, pengesanan dan pemetaan.
Keuntungan mencecah RM5.2 juta pada 2025
Bagi penyelesaian sistem rel pintar pula, RedPlanet menggunakan sistem keselamatan PIES® untuk mengesan pencerobohan manusia di kawasan platform rel. Syarikat itu turut menjual perisian, perkakasan ICT dan komponen berkaitan penyelesaian sistem rel pintarnya.
Dari segi prestasi kewangan, hasil RedPlanet meningkat daripada RM24.93 juta pada tahun kewangan 2023 kepada RM34.92 juta pada 2024 sebelum berkurang kepada RM33.30 juta pada 2025. Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026, hasil kumpulan berjumlah RM33.17 juta.
Keuntungan selepas cukai pula meningkat daripada RM4.16 juta pada 2023 kepada RM5.16 juta pada 2024 dan RM5.22 juta pada 2025. Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, RedPlanet mencatat keuntungan selepas cukai RM4.97 juta.
Penyelesaian geospatial kekal sebagai antara penyumbang utama hasil kumpulan dengan merekodkan RM19.17 juta pada 2023, RM18.64 juta pada 2024 dan RM18.70 juta pada 2025. Dalam tempoh sembilan bulan 2026, segmen itu menyumbang RM13.65 juta.
239 kontrak bernilai RM139 juta
Sementara itu, penyelesaian sistem rel pintar mula menyumbang RM8.51 juta kepada hasil pada 2024 sebelum meningkat kepada RM12.35 juta pada 2025. Bagi tempoh sembilan bulan 2026, segmen tersebut menyumbang RM8.71 juta.
RedPlanet turut mempunyai rekod mendapatkan kontrak daripada pelanggan utamanya. Sejak permulaan operasi sehingga tarikh prospektus, kumpulan telah memperoleh 239 kontrak jangka pendek dan pesanan pembelian daripada Pelanggan A dengan nilai keseluruhan RM138.98 juta.
Pada Ogos 2025, RedPlanet memperoleh kontrak bernilai RM2.69 juta daripada Pelanggan A bagi penyediaan penyelesaian geospatial. Skop kerja termasuk mereka bentuk ekosistem maklumat geospatial, menilai penyelesaian untuk pengoptimuman proses perniagaan serta menjalankan penilaian prestasi, pemantauan sistem dan memberikan cadangan penyelenggaraan.
Permohonan saham IPO RedPlanet dibuka pada 28 September 2026 dan akan ditutup pada 8 Oktober 2026, manakala proses pengundian dijadualkan pada 13 Oktober.
Pengagihan saham pula dijadualkan pada 20 Oktober sebelum syarikat menarik diri daripada Pasaran LEAP dan disenaraikan di Pasaran ACE pada 22 Oktober 2026. - DagangNews.com






