KEB meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities menjelang IPO Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2026 • 2:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KEB meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities menjelang IPO Pasaran ACE Image from: KEB meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities menjelang IPO Pasaran ACE amree25/09/2026 - 14:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Sept — KEB Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd bagi 66.18 juta saham baharu sempena cadangan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia, dan membuka laluan pengukuhan pertumbuhan seterusnya.

 

Perjanjian berkenaan meliputi 44.12 juta saham untuk permohonan awam Malaysia dan 22.06 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja serta individu berkelayakan yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan pemaju hartanah tersebut selama ini.

 

Menurut kenyataan, cadangan tawaran awam permulaan (IPO) itu merangkumi terbitan 138.54 juta saham baharu serta tawaran untuk menjual 88.24 juta saham sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhan ditawarkan mencecah sebanyak 226.78 juta saham.

 

Daripada terbitan itu, 44.12 juta saham diperuntukkan kepada orang awam, 22.06 juta saham kepada individu layak, manakala masing-masing 22.06 juta dan 50.30 juta saham bagi penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan.

 

"Hasil terbitan IPO tersebut akan digunakan bagi pemerolehan bank tanah, modal kerja pembangunan projek, pembayaran balik pinjaman bank serta perbelanjaan yang berkaitan penyenaraian," jelas KEB.

 

Pengarah Urusannya, Datuk Lim Kim Chong berkata, IPO berkenaan akan memperkukuh platform kumpulan untuk pertumbuhan masa depan, termasuk mengembangkan peluang pembangunan, pengambilalihan bank tanah tambahan dan meningkatkan fleksibiliti kewangan.

 

 

KEB_DagangNews2026

 

Ujarnya, sejak memasuki sektor pembangunan hartanah pada 2004, syarikat itu sudah menyiapkan sebanyak 14 projek yang merangkumi pembangunan kediaman, perindustrian, komersial dan guna campur di seluruh Malaysia.

 

Kumpulan kini mempunyai dua lagi projek yang sedang dibangunkan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM773.29 juta, selain sebanyak empat projek akan datang dengan anggaran GDV mencecah jumlah RM940.74 juta.

 

"KEB turut disokong keupayaan pembinaan dalaman menerusi KEB Utama Sdn Bhd, kontraktor berdaftar Gred G7 CIDB, yang membolehkan mengawal pelaksanaan projek, piawaian kualiti serta garis masa penyiapan dengan lebih rapat," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan M&A Equity Holdings Berhad, Datuk Bill Tan berkata, lebih 20 tahun pengalaman pembangunan hartanah, rekod prestasi serta projek semasa dan akan datang menjadi asas kepada KEB memanfaatkan penyenaraian sebagai platform pertumbuhan seterusnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd, Datuk Kelvin Khoo berkata, IPO KEB disokong pembangunan berterusan, pelancaran akan datang dan bank tanah, manakala hasil terbitan membantu pelan pertumbuhan dalam pasaran hartanah domestik. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved