IPU cecah 400, kerajaan bersedia ambil langkah darurat

LocalEnvironment
5 Sep 2026 • 2:48 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

IPU cecah 400, kerajaan bersedia ambil langkah darurat

HULU TERENGGANU – Kerajaan bersedia mencadangkan pengisytiharan darurat di kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 400, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jerebu negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, ketika ini tiga kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat iaitu Kuching, Kota Samarahan dan Sri Aman.

Menurut beliau, kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan operasi pembenihan awan di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 400 bagi membantu mengurangkan tahap jerebu.

“Daripada 68 stesen ukur pencemaran udara, hanya tiga stesen mencatatkan udara sangat tidak sihat.
“Tiga stesen yang merekodkan bacaan sangat tidak sihat adalah di Kuching, Kota Samarahan dan Sri Aman, manakala satu stesen iaitu di kawasan Serian masih mencatatkan bacaan berbahaya,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Sekolah Angkat Malaysia MADANI di Kampung Basung, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abdul Rashid.

Mengulas mengenai keadaan di Serian yang telah diisytiharkan darurat pada semalam, Arthur berkata kerajaan akan meneruskan operasi pembenihan awan bagi membantu mengurangkan tahap jerebu di kawasan berkenaan.

Katanya, operasi pembenihan awan yang dijalankan di beberapa kawasan di Sarawak serta utara Semenanjung termasuk Kedah dan Perlis menunjukkan perkembangan positif apabila hujan turun bermula petang semalam sehingga awal pagi hari ini.

Dalam perkembangan sama, Arthur memaklumkan kerajaan telah menerima kebenaran bertulis daripada Indonesia bagi membolehkan aset udara Malaysia memasuki ruang udara negara itu untuk menjalankan operasi pembenihan awan.

“Kita sudah melaksanakan operasi pembenihan awan di Sarawak dan bersedia untuk meluaskan operasi menggunakan aset udara merentas sempadan,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas dakwaan syarikat perladangan dari Malaysia melakukan pembakaran terbuka, Arthur berkata kerajaan Indonesia akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terlibat.

The post IPU cecah 400, kerajaan bersedia ambil langkah darurat appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved