IPU tidak sihat: Semua sekolah di Melaka ditutup esok

LocalEnvironment
8 Oct 2026 • 10:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: IPU tidak sihat: Semua sekolah di Melaka ditutup esok
Rahmad - Foto SINAR HARIAN

MELAKA - Semua sekolah di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan (KPM) di Melaka ditutup pada Jumaat berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi 150 iaitu pada tahap tidak sihat.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, keputusan itu dibuat susulan pemantauan berterusan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka serta laporan rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurutnya, penutupan itu melibatkan semua sekolah di seluruh negeri bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid, guru serta warga sekolah terjamin.

"Keputusan ini diambil susulan pemantauan berterusan pihak jabatan dan laporan rasmi JAS yang menunjukkan IPU di kawasan-kawasan utama dalam negeri Melaka telah melepasi bacaan 150 iaitu berada pada tahap tidak sihat.

"Langkah penutupan ini dibuat demi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan murid-murid, guru-guru serta seluruh warga sekolah sentiasa terjamin," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Rahmad berkata, beliau turut memberi arahan selari kepada semua Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan tadika untuk ditutup esok.

Katanya, JPN Melaka bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah akan terus memantau keadaan jerebu dari semasa ke semasa mengikut garis panduan ditetapkan KPM.

"Sebarang maklumat terkini atau perubahan berhubung sesi persekolahan seterusnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi.

"Pihak JPN Melaka memohon kerjasama dan keprihatinan seluruh warga pendidikan serta ibu bapa atau penjaga untuk sentiasa mengutamakan kesihatan anak-anak sepanjang tempoh ini," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved