SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) diminta melaksanakan Audit Keselamatan Sekolah secara nasional susulan kematian seorang remaja perempuan di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor pada Sabtu.
Timbalan Presiden Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Datuk Roslan Ariffin berkata, kejadian berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai kes terpencil, sebaliknya menjadi titik perubahan terhadap pendekatan keselamatan murid di sekolah.
Menurut beliau, penilaian yang dijalankan perlu merangkumi keselamatan ketika kelas tambahan dan aktiviti kokurikulum selain keberkesanan prosedur tindakan kecemasan di sekolah.
"Sekolah bukan sekadar tempat anak-anak kita belajar. Apabila ibu bapa menghantar anak ke sekolah, mereka sebenarnya menyerahkan satu amanah besar kepada sistem pendidikan negara.
"Amanah itu bukan sahaja untuk mendidik, tetapi memastikan anak mereka berada dalam persekitaran yang selamat sehingga kembali ke pangkuan keluarga," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN:Pelajar ditemui maut di sekolah disyaki dibunuh
Pelajar maut di sekolah: Nenek lihat Fiya terkulai, berlumuran darah dalam dewan sekolah
Pelajar maut di sekolah: 'Fiya nak jadi doktor macam arwah ibu' - Ibu saudara
Pelajar maut di sekolah: Tiada kompromi terhadap buli, jenayah di sekolah - Exco
Pelajar maut dibunuh: 'Irene Sofia pelajar cemerlang, harapan 9A di sekolah' - Rakan
Sebelum ini, mangsa, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, dilapor datang ke sekolah untuk menghadiri kelas tambahan sebelum ditemui maut dipercayai dibunuh.
Menurut Roslan, pihaknya turut mencadangkan mewujudkan Penilaian Risiko Keselamatan Sekolah yang dilaksanakan secara berkala di setiap institusi pendidikan itu.
"Sekolah perlu mengenal pasti lokasi, waktu dan situasi berisiko serta mempunyai mekanisme amaran awal sebelum sesuatu insiden berkembang menjadi tragedi.
“Jangan kita menunggu seorang lagi anak menjadi mangsa sebelum kelemahan dikenal pasti. Keselamatan sekolah mesti bersifat pencegahan, bukan sekadar tindak balas selepas tragedi berlaku,” katanya.
Beliau berkata, aspek kesejahteraan emosi dan sosial murid juga perlu diberi perhatian.
"Sistem pendidikan memerlukan mekanisme yang membolehkan perubahan tingkah laku, konflik, ancaman, gangguan, tekanan emosi atau tanda-tanda awal keganasan dikenal pasti lebih awal melalui kerjasama guru, kaunselor, ibu bapa dan komuniti sekolah.
"Justeru, hasil siasatan dan audit yang berkaitan hendaklah diterjemahkan kepada pembaharuan dasar dan prosedur yang nyata, bukannya sekadar tindakan pentadbiran sementara.
Katanya, keselamatan murid merupakan tanggungjawab kolektif ekosistem pendidikan.
“Nyawa seorang anak terlalu mahal untuk dijadikan statistik. Daripada tragedi ini, negara mesti berani melakukan pembetulan.
"Kita mahu setiap ibu dan ayah menghantar anak ke sekolah dengan satu keyakinan iaitu anak mereka belajar di tempat yang bukan sahaja mendidik, tetapi menjaga dan melindungi mereka,” katanya.





![Kes Bunuh Irene Sofiya: “Saya Peluk Fiya Sambil Ajar Ucap Kalimah Syahadah” – Nenek [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/Pelajar-maut-disyaki-dibunuh.jpg?t=1791089312)
