IRIS Group ambil alih status penyenaraian IRIS Corporation, Poh Yang dilantik Pengarah Urusan kumpulan

LocalBusiness & Finance
8 Jan 2026 • 11:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IRIS Group ambil alih status penyenaraian IRIS Corporation, Poh Yang dilantik Pengarah Urusan kumpulan image is not available haziq08/01/2026 - 11:46 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Jan – IRIS Group Berhad (IGB) secara rasmi mengambil alih status penyenaraian IRIS Corporation Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, IGB turut mengumumkan pelantikan Datuk Poh Yang Hong sebagai Pengarah Urusan kumpulan yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

 

Penstrukturan dalaman itu menerusi pertukaran saham satu-untuk-satu, yang secara efektif memisahkan fungsi pegangan pelaburan kumpulan di bawah IRIS Group Berhad daripada perniagaan operasi teras yang kini diletakkan di bawah IRIS Corporation Berhad.

 

Poh Yang, 53, kembali menerajui kumpulan yang terkenal dalam segmen Pengenalpastian Dipercayai (ID) selepas empat tahun meninggalkan jawatan pengurusan tertinggi.

 

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Presiden dan Pengarah Urusan kumpulan IRIS Corporation dari Jun 2018 hingga Mac 2021, tempoh di mana beliau dikreditkan kerana merasionalisasikan aset bukan teras kumpulan bagi memberi tumpuan kepada teknologi ePassport dan eID.

 

Dengan pengalaman korporat melebihi 30 tahun, Poh Yang pernah memegang beberapa jawatan kepimpinan utama dalam Hong Leong Group.

 

Beliau juga merupakan anak kepada Dr Poh Soon Sim, tokoh korporat di Malaysia.

 

Setakat tarikh pelantikan, Poh Yang mempunyai kepentingan langsung sebanyak 250,000 saham dalam IRIS Group Berhad yang baharu disenaraikan.

 

Pada hari pertama dagangan, saham IRIS Group Berhad (0010) dibuka pada RM0.220. - DagangNews.com

Terkini standard