Isi banjir fokus utama Datuk Bandar baharu Petaling Jaya

LocalEnvironment
3 Aug 2026 • 5:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Isi banjir fokus utama Datuk Bandar baharu Petaling Jaya

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi jaminan isu banjir kilat yang kerap menjejaskan penduduk setempat akan dijadikan sebagai keutamaan dan fokus utama pentadbiran baharu bandar raya ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Yazid Sairi berkata, isu berkenaan merupakan perkara kritikal yang menyentuh sensitiviti serta emosi masyarakat, sekali gus menuntut langkah intervensi dan penyelesaian segera.

Menurut beliau, MBPJ sebelum ini telah melancarkan langkah awal seperti penetapan ‘OSD Point’ bagi menangani risiko di kawasan terjejas, dan tindakan pembaikan akan diperluas ke kawasan lain yang dikenal pasti.

“Fokus utama kita adalah masalah banjir. Perkara ini banyak tular di media sosial dan menimbulkan keresahan masyarakat.

“MBPJ sebelum ini telah mengarahkan pelaksanaan ‘OSD Point’ di kawasan terjejas seperti di Medan Selera Lorong 3. Kita akan lihat kawasan-kawasan lain yang mempunyai masalah sama untuk tindakan segera,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Jawatan Datuk Bandar Petaling Jaya di Dewan Bunga Tanjung, Ibu Pejabat MBPJ, di sini hari ini.

Mohd Yazid, dilantik menerajui MBPJ bagi menggantikan Datuk Mohamad Zahri Samingon yang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia.

Dalam pada itu, beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran awam di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor menjelaskan, aspek keselamatan dan fungsi kemudahan awam akan menjadi kriteria utama dalam mengendalikan aduan penduduk.

Katanya, setiap aduan yang disampaikan melalui persatuan penduduk atau Kawasan Rukun Tetangga (KRT) akan dinilai berdasarkan keadaan sebenar di lapangan.

“Jika aduan tersebut melibatkan dua kriteria penting iaitu fungsi dan keselamatan infrastruktur, ia wajar dijadikan keutamaan untuk diselesaikan dengan pantas,” tegasnya.

Mengulas mengenai kaedah pemantauan, Mohd Yazid memberi bayangan bakal turun ke lapangan secara senyap bagi melihat sendiri tahap perkhidmatan dan kebersihan di kawasan pentadbiran MBPJ.

“Saya mungkin tidak menyamar, tetapi saya suka melawat kawasan tanpa dimaklumkan terlebih dahulu secara spot check. Ini bagi memastikan keadaan sebenar infrastruktur dan kebersihan bandar raya sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya. – UTUSAN

 

The post Isi banjir fokus utama Datuk Bandar baharu Petaling Jaya appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved