Pantai Timur raih pelaburan RM55 bilion, kerajaan digesa percepatkan pelan ECER 2026–2030

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 3:47 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pantai Timur raih pelaburan RM55 bilion, kerajaan digesa percepatkan pelan ECER 2026–2030 Image from: Pantai Timur raih pelaburan RM55 bilion, kerajaan digesa percepatkan pelan ECER 2026–2030 liza15/10/2026 - 15:47 Pelabuhan Kuantan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt – Kerajaan digesa mempercepat pelaksanaan Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2026–2030 dengan menyepadukan Kuantan, Kemaman dan Tok Bali sebagai tiga nod maritim strategik bagi membuka potensi ekonomi Pantai Timur secara lebih menyeluruh.

 

Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata penyepaduan ketiga-tiga kawasan itu bersama kawasan perindustrian dan rangkaian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) penting bagi memastikan pelaburan dalam infrastruktur dan logistik bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, malah mampu menjana manfaat ekonomi yang lebih besar.

 

Menurutnya, Pantai Timur Semenanjung Malaysia wajar diberikan perhatian setimpal supaya wilayah itu dapat memainkan peranan lebih besar dalam pertumbuhan ekonomi negara dengan memanfaatkan kekuatan industri serta potensi berbeza yang dimiliki setiap negeri.

 

Satukan kekuatan tiga negeri, perluas potensi ekonomi

“Pahang mempunyai asas industri petrokimia dan kimia di Gebeng yang disokong Pelabuhan Kuantan manakala Terengganu memiliki ekosistem minyak dan gas, petrokimia, kejuruteraan luar pesisir serta industri maritim di sekitar Kerteh dan Kemaman.

 

“Kelantan pula berpotensi mengembangkan industri marin, perikanan, pemprosesan makanan dan perusahaan halal, termasuk di sekitar Tok Bali dan Pasir Mas.

 

“Oleh itu, kekuatan ekonomi ketiga-tiga negeri ini tidak seharusnya dibangunkan secara terpisah sebaliknya perlu digembleng secara bersepadu bagi membentuk rantaian nilai ekonomi yang saling melengkapi,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Tambahnya, pendekatan itu penting bagi memastikan pelaburan dalam sektor logistik dan kawasan perindustrian dapat menghasilkan manfaat ekonomi yang lebih besar, sekali gus meletakkan Pantai Timur pada kedudukan lebih strategik dalam pertumbuhan negara.

 

Pelaburan RM55 bilion buka ruang untuk melangkah lebih jauh

Berdasarkan data Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Pelan Induk ECER 2.0 bagi tempoh 2018 hingga 2025 merekodkan pelaburan direalisasikan sebanyak RM55 bilion mengatasi sasaran RM49 bilion, selain mewujudkan lebih 79,000 peluang pekerjaan.

 

Bagi 2025, pelaburan direalisasikan pula dilaporkan berjumlah RM10 bilion, menyamai sasaran tahunan.

 

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata pencapaian itu menyediakan asas untuk pembangunan wilayah berkenaan dipertingkatkan, khususnya apabila ECRL beroperasi sepenuhnya.

 

Beliau berkata, pembangunan Pantai Timur tidak seharusnya terhenti pada pembinaan pelabuhan dan penyediaan infrastruktur fizikal, sebaliknya perlu diperluas kepada aktiviti ekonomi yang mampu memanfaatkan kemudahan tersebut.

 

Ini termasuk industri hiliran, pembuatan komponen marin, pembinaan dan pembaikan kapal, pemprosesan makanan, logistik serta pembangunan tenaga baharu.

 

“Dengan menghubungkan sumber, industri, logistik dan tenaga kerja dalam satu ekosistem ekonomi, Pantai Timur berpotensi meningkatkan produktiviti, memperluas pasaran dan menarik pelaburan yang lebih berkualiti,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved