
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di sini, pagi ini.
Kenderaan membawa Ismail memasuki pintu utama Istana Hinggap pada 10.18 pagi selepas Tuanku Muhriz dilihat tiba kira-kira sejam lebih awal.
Ia kemudian disusuli dengan ketibaan kenderaan yang membawa Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan diikuti tiga Undang iaitu Undang Sungei Ujong, Undang Rembau dan Undang Jelebu.
Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu difahamkan menghadap baginda dipercayai bagi membincangkan tindakan beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri besar pada Isnin lalu.
Selain isu tersebut, turut akan dibincangkan adalah keperluan untuk mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 pada Khamis depan.
Selasa lalu, Istana Negeri Sembilan melalui Pengelola Bijaya Diraja Datuk Azizi Mohamad Ali dalam kenyataan memaklumkan Tuanku Muhriz memperkenankan Ismail menghadap baginda di Istana Hinggap pada 10 pagi ini.-UTUSAN
The post Ismail Lasim, tiga Undang menghadap Tuanku Muhriz appeared first on Utusan Malaysia.






