
SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim kini memberi tumpuan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu sebelum memilih tarikh bagi mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk pembentangan Belanjawan 2027.
Katanya, beliau akan mengemukakan nama calon Exco baharu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk mendapatkan perkenan baginda.
Menurutnya, beliau tidak dapat menganggarkan masa untuk berbuat demikian tetapi berharap ia dapat dilakukan secepat yang mungkin.
“Keutamaan sekarang mesti ada Exco semula mengikut perkenan Yang di-Pertuan Besar. Kita harap dapat buat secepat mungkin. Mungkin juga minggu ini.
“Selepas lantik Exco, baru bincang pasal Persidangan DUN yang juga akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar di perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar di sini hari ini.
Beliau sebelum itu mengadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di sini.
Ismail menjelaskan pentadbiran kerajaan negeri banyak terganggu akibat ketiadaan Exco yang sebelum ini terpecat akibat kenyatan yang dibuat mereka pada 16 September lalu.
“Pentadbiran kerajaan negeri adalah lebih penting kerana ia melibatkan hak rakyat. Jadi kita kena pisahkan antara isu adat dan pentadbiran kerajaan negeri.
“Ini adalah cara untuk melicinkan semula pentadbiran kerajaan negeri bermula dengan melantik EXCO baharu,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, Persidangan DUN masih mempunyai banyak masa untuk diadakan dengan perkenan Yang di-Pertuan Besar seperti yang pernah dijelaskan olehnya sebelum ini.
Ditanya mengenai hasil sesi menghadap hari ini untuk dilaporkan kepada kepimpinan parti, Ismail memberitahu akan berbuat demikian tetapi percaya ia telah pun diketahui melalui sidang akhbar tersebut.
“Insya-Allah (saya akan laporkan), ini keputusan hasil mengadap tadi kan,” katanya.-UTUSAN
The post Ismail Lasim tumpu proses lantik Exco baharu appeared first on Utusan Malaysia.






