
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menjalani prosedur pemasangan alat perentak jantung (pacemaker) di Institut Jantung Negara (IJN) selepas solat Jumaat, hari ini.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, bekas Perdana Menteri itu perlu menjalani prosedur berkenaan sebelum hadir ke mahkamah bagi menjawab pertuduhan yang bakal dihadapinya.
Menurutnya, pihaknya dimaklumkan terdapat kemungkinan pertuduhan terhadap Ismail Sabri dibacakan di IJN namun perkara itu disifatkan tidak praktikal susulan keadaan kesihatan beliau.
“Pada awalnya, perancangan adalah pertuduhan mungkin dibacakan di sini, tetapi kami memberikan maklumat tertentu dan menjelaskan ia tidak praktikal.
“Beliau sudah tentu mahu membersihkan namanya, tetapi pada masa sama perkara utama dalam fikirannya ketika ini adalah kesihatannya.
“Beliau sedang berpuasa dan akan menjalani prosedur pacemaker selepas solat Jumaat nanti, mungkin sekitar pukul 2 atau 3 petang. Jadi harap kita semua dapat berdoa.” katanya kepada pemberita selepas melawat bekas Perdana Menteri itu di IJN di sini, hari ini.
Amer Hamzah berkata, selepas prosedur selesai dan keadaan Ismail Sabri stabil, pihaknya bersedia hadir ke mahkamah bagi menjawab pertuduhan berkenaan.
“Apabila semuanya selesai dan keadaan beliau stabil, kami lebih daripada bersedia untuk hadir ke mahkamah bagi menjawab pertuduhan terhadap beliau,” katanya.
Menurutnya, beliau tidak dapat mengulas berapa lama prosedur dan pemantauan kesihatan itu akan mengambil masa kerana ia tertakluk kepada penilaian doktor.
Bagaimanapun, katanya, proses berkenaan dijangka mengambil masa beberapa hari dan pihaknya akan terus memantau perkembangan kesihatan beliau.
“Saya bukan doktor dan tidak layak untuk memberi komen berapa lama ia akan mengambil masa, tetapi sudah tentu beberapa hari.
“Kita akan memantau perkembangan beliau. Diharapkan beliau sudah sihat dan bersedia untuk hadir ke mahkamah,” katanya. – UTUSAN
The post Ismail Sabri jalani prosedur pemasangan alat perentak jantung appeared first on Utusan Malaysia.




