Ismail Sabri mungkin alami degupan jantung tidak sekata ‘arrhythmia’

LocalHealth & Fitness
7 Aug 2026 • 12:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ismail Sabri mungkin alami degupan jantung tidak sekata ‘arrhythmia’
Peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad (kiri) mewakili Ismail Sabri.
Image from: Ismail Sabri mungkin alami degupan jantung tidak sekata ‘arrhythmia’
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipercayai mengalami masalah degupan jantung tidak sekata sehingga terpaksa dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN), pada Khamis.

Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu berkata, doktor yang merawat mengesahkan anak guamnya mengalami ‘possible arrhythmia’ yang memerlukan siasatan lanjut.

Beliau berkata demikian ketika memohon penangguhan prosiding di Mahkamah Sesyen, di sini pada Jumaat di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Menurut Amer, pemimpin UMNO itu dijadualkan menjalani prosedur pemasangan alat perentak jantung iaitu ‘pacemaker’ pada jam 2 petang Jumaat dan dijangka dimasukkan ke wad selama beberapa hari.

"Kami juga memohon agar 27 Ogos ditetapkan sebagai tarikh baharu untuk prosiding berkenaan.

“Memandangkan anak guam kami masih berada di bawah jaminan SPRM, tiada isu beliau akan melarikan diri.

"Mahkamah juga dialu-alukan untuk melawat beliau sekiranya perlu," katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Ragunath Kesavan.

**media[3607786]**

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan memaklumkan bahawa, pihak pendakwaan telah memfailkan pertuduhan terhadap Ismail Sabri dan memperoleh izin untuk mendakwanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, memandangkan ahli politik berkenaan masih berada di bawah jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keadaan kesihatannya tidak mengizinkannya untuk hadir ke mahkamah, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan penangguhan atas dasar kemanusiaan.

"Kami bersetuju, sebaik sahaja beliau dibenarkan keluar dari hospital dan disahkan sihat, pembacaan pertuduhan serta pengambilan pengakuan boleh dibuat pada 27 Ogos," katanya.

Mengikut sistem kehakiman, pertuduhan terhadap Ismail Sabri sepatutnya dibacakan pada jam 9 pagi Jumaat.

Susulan itu, Suzana menetapkan 27 Ogos sebagai tarikh baharu bagi prosiding pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan terhadap Ismail Sabri.

Pada prosiding tersebut, Farah Ezlin dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin dan Nurul Qistini Qamarul Abrar.

Amer pula turut disertai peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam, Joshua Tay, Tan Xu Yin, Aswath Ramakrishnan dan Sanjey G Sangkar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved