Lapan cedera dalam siri keganasan di Wilayah Yala, Satun

12 Nov 2026 • 8:03 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lapan cedera dalam siri keganasan di Wilayah Yala, Satun

YALA (THAILAND): Sekurang-kurangnya lapan pelajar cedera, tiga daripadanya terpaksa dimasukkan ke hospital, susulan 15 siri keganasan di Wilayah Yala dan Satun sejak pukul 8.30 malam kelmarin hingga 6.30 pagi semalam, dipercayai tindak balas daripada kumpulan pemisah Selatan Thai sehari selepas seorang anggota mereka ditembak mati Isnin lalu.

Tiga insiden itu melibatkan serangan bom buatan sendiri (IED) yang ditanam di tepi jalan di Daerah Thung Wa, Wilayah Satun, manakala satu lagi IED diletupkan di kawasan Pejabat Pentadbiran Mukim Yala di Daerah Mueang (bandar) Yala.

Jurucakap Pusat Operasi Ke­selamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, lapan insiden melibatkan pengeboman, pembakaran menara telekomunikasi, kamera litar tertutup (CCTV) dan tayar kenderaan berlaku di Daerah Mueang (Perbandaran) Yala, Bannang Sata, Krong Pinang, Kabang dan Yaha.

Menurutnya, insiden itu bermula dengan membakar tayar kenderaan di Mukim Tha Saap, Daerah Mueang dan Jalan Ban Niang-Yaha di Daerah Yaha pukul 8.30 malam, diikuti perbuatan sama di Daerah Bannang Sata dan Krong Pinang pada 8.50 malam.

“Kemudian pada pukul 9.03 malam, pihak berkuasa menerima laporan mengatakan sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu Pejabat Pentadbiran Mukim Yala di dalam bandar Yala dan menjadikan lima pekerja penyelamat sebagai tebusan.

“Kumpulan berpakaian hitam itu kemudian meletupkan kawasan pejabat berkenaan menyebabkan dua kereta, sebuah ambulans, dan trak sampah terbakar. Mereka turut melepaskan beberapa das tembakan, sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Beliau berkata, pasukan ke­selamatan percaya semua insiden itu dilakukan anggota kumpulan pemisah dan penyokong mereka selepas pihak berkuasa menembak mati seorang lelaki disyaki dalam satu pertempuran di lereng Bukit Saji di Daerah Thanto, Yala, Isnin lalu.

Dalam pertempuran itu, suspek dikenali sebagai Saudi Tingueng, 48, merupakan anggota pemisah peringkat operasi yang mempunyai tiga waran tangkap, termasuk terlibat dalam kes memenggal kepala seorang penduduk di Wilayah Yala pada 2015.

Jurucakap itu berkata, dua letupan IED dilaporkan berlaku di Daerah Thung Wa di Wilayah Satun pagi tadi menyebabkan sekurang-kurangnya lapan daripada 11 pelajar yang menaiki sebuah van cedera. – UTUSAN

The post Lapan cedera dalam siri keganasan di Wilayah Yala, Satun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved