
KANGAR: Polis Perlis mempertingkatkan kawalan keselamatan dan risikan di sepanjang sempadan negeri ini khususnya di pintu-pintu masuk utama negara susulan siri keganasan dilaporkan di Wilayah Yala dan Satun, Thailand.
Ketua Polis Perlis, Hamzah Hashim berkata, arahan kawalan tersebut dikeluarkan kepada Ketua Polis Daerah dan Pasukan Gerakan Am (PGA) susulan daripada insiden tersebut
Menurut beliau, kerjasama dan perkongsian maklumat dengan pihak berkuasa Thailand juga akan diperkukuh bagi mengesan serta menangani sebarang potensi ancaman lebih awal.
“Polis Kontinjen Perlis memandang serius dan sentiasa berwaspada terhadap insiden keganasan di Selatan Thailand khususnya kejadian letupan bom di Daerah Thung Wa, Wilayah Satun yang bersempadan dengan negeri Perlis.
“Susulan kejadian tersebut, arahan dikeluarkan bagi meningkatkan kawalan keselamatan dan risikan di sepanjang sempadan Perlis, khususnya di pintu-pintu masuk utama negara,” katanya ketika dihubungi semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan sekurang-kurangnya lapan pelajar cedera, tiga daripadanya terpaksa dimasukkan ke hospital, susulan beberapa siri keganasan di Wilayah Yala dan Satun sejak malam kelmarin sehingga awal pagi semalam.
Serangan dipercayai tindak balas daripada kumpulan pemisah Selatan Thai sehari selepas seorang anggota mereka ditembak mati pada Isnin lalu. – UTUSAN
The post Polis Perlis tingkat kawalan keselamatan, risikan di sempadan appeared first on Utusan Malaysia.




![[VIDEO] Polis buru dua lelaki samun kedai emas](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/IMG-20261112-WA0076-1-1024x571.jpg)

