
KLUANG: “Isteri dan dua anak yang maut dalam kebakaran memang rapat, mungkin mereka bertiga mahu pergi bersama-sama. Minta-minta mereka syahid.”
Itu luahan Khairul Nizam Wahid, 50, yang kehilangan isteri, Noraini Ibrahim, 49, dan dua anak lelakinya, Khairul Nur Haziqq, 18, serta Khairul Nur Haniff, 24, dalam satu kebakaran di kediaman mereka di Jalan Satria 7/5, Taman Titiwangsa, di sini malam tadi.
Menurutnya, ketika kejadian dia baharu pulang ke rumah selepas keluar minum bersama dua jiran yang lain, kira-kira pukul 10.30 malam.
“Sampai sahaja di rumah, saya buka pintu dan lihat ada kebakaran di sofa ruang tamu. Saya tolak sofa ke tepi dan buka pintu dapur, tetapi tidak lama selepas itu api telah marak dan asap tebal memenuhi kawasan rumah.
“Ketika itu, isteri yang berada di atas bersama dua anak lelaki saya menelefon saya dan bertanya mengapa rumah bising, saya beritahu rumah terbakar kemudian panggilan itu terus senyap, saya jerit panggil mereka tiada jawapan.
“Saya sendiri tidak dapat naik ke tingkat dua kerana ketika itu api sudah marak dan asap sudah tebal. Saya hanya mampu berlari keluar rumah dan memanggil jiran-jiran untuk membantu padamkan api,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini hari ini.
Tambah pesara tukang masak di Kem Mahkota Kluang di sini itu, anggota bomba yang hadir memadamkan kebakaran memberitahu Haziqq ditemukan sedang memeluk adiknya, Haniff, manakala isterinya berada di sebelah mereka.
“Siapa yang tidak terkilan apabila kejadian ini berlaku, sekiranya boleh saya mahu gantikan tempat mereka dengan nyawa saya. Sekarang hilanglah semua dengan anak-anak sekali.
“Kami sekeluarga memang rapat, tidak pernah berpisah. Jika ada pun kerana dia pergi hantar anak-anaknya bermain boling, tetapi tidak pernah berpisah lama-lama. Itu memang hobi isteri dan anak-anak, mereka suka bermain boling jadi saya tidak pernah halang.
“Hari-hari mereka pergi bermain boling, tempat boling itu sudah seperti rumah kedua mereka, tetapi malam semalam mereka tidak pergi,” katanya sambil memberitahu akan meneruskan perniagaan katering yang dimulakan isterinya.
Sementara itu, Khairul Nizam turut memberitahu, jenazah ketiga-tiga mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Bentong Dalam, di sini.-UTUSAN
The post Isteri dan anak rapat, mungkin mahu pergi bersama-sama, semoga mereka syahid – suami appeared first on Utusan Malaysia.






