Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Nama Aliff Daniel Adli sekali lagi menjadi perhatian selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan Majlis Pengisytiharan Taubat atau Istitabah membabitkan pemuda berusia 21 tahun itu pada hari ini.
Majlis berkenaan berlangsung dari jam 2.30 petang hingga 4.30 petang di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam.
Menerusi hebahan JAIS, orang ramai turut berpeluang mengikuti majlis berkenaan secara dalam talian menerusi siaran langsung di Facebook rasmi jabatan tersebut.
Artikel berkaitan: Lakukan Perbuatan Syirik Di Batu Caves, Aliff Daniel Adli Diarah Masuk Pusat Pemurnian Akidah
Artikel berkaitan: Mutawwif Tegur Elak Buat 2 Perkara Ini Ketika Ziarah Jabal Rahmah
Namun, mungkin masih ramai yang tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan istitabah dan mengapa proses ini perlu dilalui oleh Aliff Daniel.
Apa Maksud Istitabah?
Secara ringkas, istitabah berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud meminta seseorang bertaubat atau kembali kepada jalan yang benar.
Dalam konteks pemulihan akidah Islam di Selangor, istitabah merupakan satu proses bimbingan yang bertujuan memberi peluang kepada individu yang berdepan masalah berkaitan akidah untuk kembali memahami dan menghayati ajaran Islam.
Menurut penerangan Jabatan Mufti Selangor yang diterbitkan dalam Jendela Syariah MAIS, proses istitabah boleh melibatkan runding cara akidah, sesi kaunseling dan program pemulihan bagi membantu individu berkenaan memperbetulkan kefahaman agama.
Jadi, proses ini bukan semata-mata mengenai lafaz taubat di hadapan orang ramai, sebaliknya turut melibatkan usaha membimbing dan memulihkan kefahaman seseorang terhadap akidah Islam.
Apa Yang Berlaku Dalam Proses Istitabah?
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman menyediakan pelbagai program untuk individu yang memerlukan bimbingan dan pemulihan akidah.
Antara program yang disediakan termasuklah:
- Pengukuhan akidah, ibadah dan akhlak.
- Kuliah agama dan kelas fardu ain.
- Rawatan spiritual Islam.
- Sesi kaunseling secara individu, berkumpulan dan keluarga.
- Program pembentukan jati diri sebagai seorang Muslim.
Pendekatan ini bertujuan memberikan bimbingan secara berterusan supaya individu berkenaan dapat memahami semula asas agama serta memperkukuhkan pegangan akidah mereka.
Mengapa Aliff Daniel Perlu Menjalani Istitabah?
Untuk rekod, Aliff Daniel sebelum ini menjadi perhatian selepas beberapa gambar dan video tular yang didakwa memaparkan dirinya menyertai ritual keagamaan bukan Islam di sebuah kuil di Batu Caves.
Perbuatan tersebut dipercayai berlaku pada 24 Januari 2024 ketika dia berusia 18 tahun.
Pada 4 November 2026, Aliff Daniel mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang.
Susulan pengakuan tersebut, mahkamah memerintahkan dia menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam.
Perintah berkenaan dibuat di bawah Seksyen 54(1) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 sebagai alternatif kepada hukuman denda atau penjara.
Aliff Daniel yang tidak diwakili peguam turut merayu agar diberikan hukuman lebih ringan kerana mendakwa dirinya sudah insaf dan tidak lagi melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak.
Untuk makluman, kes berkenaan akan disebut semula pada 25 Februari 2027 bagi membolehkan pihak pendakwaan memaklumkan laporan pemulihan akidah.
Sumber: JAIS
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






