Isu baja: Menteri pun boleh kita panggil- SPRM

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 5:48 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Isu baja: Menteri pun boleh kita panggil- SPRM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak teragak-agak untuk memanggil Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) termasuk menteri terlibat bagi membantu memberikan keterangan melibatkan isu kelewatan agihan baja di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, dalam konteks siasatan, sesiapa sahaja yang dikaitkan dengan isu itu akan dipanggil untuk memberikan keterangan.

“Kita dalam proses penyiasatan, siapa saja yang disebut dengan perkara itu disiasat, kami tidak akan meninggalkan daripada memangil individu terbabit untuk dilakukan penyiasatan.

“Ia bukan setakat KSU, menteri sekalipun kalau perlu kita panggil,” katanya selepas sesi wawancara di Ibu Pejabat SPRM di sini tadi.

Pada masa sama, Abdul Halim berkata, SPRM Negeri Kedah turut membuka kertas siasatan pada 26 Ogos lalu berhubung kegagalan syarikat pembekal membekalkan baja padi tambahan kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Katanya, siasatan berkenaan membabitkan sebuah syarikat dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk membekal, menghantar serta mengedar baja padi tambahan di bawah Skim Inisiatif Pengeluaran Padi di kawasan Mada berkeluasan 100,000 hektar.

Jelasnya, siasatan masih di peringkat awal dan setakat ini seramai 13 individu telah dipanggil bagi merakam keterangan serta urusan berkaitan.

“Daripada jumlah itu, individu dipanggil membabitkan seorang Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, empat pegawai Mada dan lapan kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Siasatan awal mendapati sepanjang musim pertama, syarikat berkenaan sepatutnya membekalkan sebanyak 616,015 beg baja kepada pesawah.

“Bagaimanapun, setakat September ini, hanya 333,655 beg baja dibekalkan, sekali gus berlaku kekurangan sebanyak 282,360 beg,” katanya.

Katanya, SPRM juga akan melaksanakan analisis kewangan ke atas syarikat dan akaun syarikat berkaitan.

“SPRM turut akan merekodkan percakapan pegawai serta penerima baja di 23 PPK terlibat.

“Kami juga akan meneliti sekiranya terdapat isu kelemahan daripada aspek tatakelola yang menjadi punca kelewatan pembekalan baja berkenaan,” katanya. – UTUSAN

The post Isu baja: Menteri pun boleh kita panggil- SPRM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved