
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak teragak-agak memanggil Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan menteri berkaitan untuk memberi keterangan berhubung isu kelewatan agihan baja di Kedah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, dalam konteks siasatan, sesiapa sahaja yang dikaitkan dengan isu tersebut akan dipanggil untuk memberi keterangan.
“Kita dalam proses penyiasatan. Siapa saja yang disebut dalam perkara yang disiasat, kami tidak akan meninggalkan daripada memangil individu terbabit untuk tujuan siasatan.
“Ia bukan setakat KSU, menteri sekali pun kalau perlu kita panggil,” katanya pada pemberita selepas sesi wawancara di Ibu Pejabat SPRM, di sini, tadi.
Abdul Halim berkata, SPRM Kedah membuka kertas siasatan pada 26 Ogos lalu berhubung kegagalan syarikat pembekal membekalkan baja padi tambahan kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).
Katanya, siasatan itu membabitkan sebuah syarikat dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk membekal, menghantar dan mengedar baja padi tambahan di bawah Skim Inisiatif Pengeluaran Padi di kawasan Mada berkeluasan 100,000 hektar.
Jelasnya, siasatan masih di peringkat awal dan setakat ini seramai 13 individu dipanggil bagi memberi keterangan dan urusan berkaitan membabitkan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, empat pegawai Mada dan lapan petugas Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
“Siasatan awal mendapati sepanjang musim pertama, syarikat itu sepatutnya membekalkan 616,015 beg baja kepada pesawah. Bagaimanapun, setakat September 2026, hanya 333,655 beg baja dibekalkan, berlaku kekurangan 282,360 beg baja,” katanya.
Tambahnya, SPRM akan melaksanakan analisis kewangan ke atas syarikat dan akaun syarikat berkaitan. Selain itu, SPRM akan merekodkan percakapan pegawai serta penerima baja di 23 PPK terlibat.
“Kami juga akan meneliti sekiranya terdapat isu kelemahan daripada aspek tatakelola yang menjadi punca kelewatan pembekalan baja,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kelewatan agihan baja: ‘Bukan KSU saja, jika perlu menteri pun kita panggil’ appeared first on Kosmo Online.






