Isu BYD: Kor Ming tawar diri jadi jambatan pastikan pelaburan kekal

LocalPolitics
20 Apr 2026 • 12:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isu BYD: Kor Ming tawar diri jadi jambatan pastikan pelaburan kekal
Kor Ming ketika mengemukakan soalan lisan sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Isnin.

IPOH – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menawarkan diri menjadi jambatan antara Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaburan syarikat kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD dapat direalisasikan di negeri itu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang itu, usaha berkenaan penting bagi memastikan Perak kekal sebagai negeri mesra pelabur selain tidak terlepas peluang menarik pelaburan berimpak tinggi.

“Sekiranya BYD bertapak di negeri Perak, ia akan menjadi pemangkin pembangunan yang mewujudkan ribuan pekerjaan yang penting. Tapi pada masa yang sama, saya nak tanya kerajaan, bagaimana kita nak pastikan supaya isu ini dapat kita laksanakan?

"Saya juga sedia jadi jambatan kepada kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan supaya masalah ini dibawa ke perhatian Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk pastikan BYD tidak pergi ke negeri-negeri lain tetapi kekal dalam negeri Perak kita," katanya ketika sesi soal jawab lisan sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee menyambut baik tawaran tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah positif dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua peringkat kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sememangnya mengalu-alukan kerjasama rapat dengan Persekutuan bagi memastikan segala kepentingan rakyat Perak terus terjamin.

"Kami menyambut baik tangan yang dihulurkan ADUN Kepayang untuk membantu menjadi penghubung kepada kerajaan persekutuan.

"Kami percaya Perdana Menteri dan barisan menteri mempunyai niat terbaik untuk rakyat dan negeri, justeru berharap perbincangan secara terus dapat diadakan,” katanya.

Menjawab soalan lisan ADUN pembangkang mengenai kebimbangan mengenai persaingan industri automotif, Sze Yee berkata, kerajaan negeri tidak menolak keperluan melindungi industri tempatan, namun menegaskan persaingan sihat perlu bagi merangsang pertumbuhan sektor tersebut.

"Dalam melindungi industri tempatan, ada pelbagai cara yang boleh dilaksanakan tanpa mengurangkan persaingan.

"Kita perlu ubah paradigma kerana persaingan sihat akan memberi manfaat kepada industri dan pengguna," katanya.