IPOH - Sistem respons kecemasan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli diperkukuh menerusi penugasan fasiliti kesihatan sedia ada serta penubuhan Pasukan Tindak Balas Awal (First Responder Team) secara bersepadu.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan berkata, langkah itu bertujuan memastikan bantuan kecemasan dapat disalurkan dengan lebih pantas di laluan berisiko berkenaan.
Menurutnya, walaupun cadangan penubuhan Pusat Trauma sebelum ini dilihat penting, ia tidak dapat dilaksanakan buat masa ini berikutan kekangan sumber di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"KKM tidak dapat membina fasiliti baharu ketika ini.
"Bagaimanapun Pusat Penyelaras Kecemasan Perubatan (MECC) telah mengenal pasti hospital dan klinik kesihatan berhampiran bagi menyokong penugasan dan respons kecemasan di sepanjang laluan tersebut," katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.
Selain itu jelas beliau, Pasukan Tindak Balas Awal yang ditubuhkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) ditempatkan secara strategik bagi memastikan masa respons dapat diminimumkan.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) turut menggerakkan pelan tindakan bencana melibatkan pelbagai agensi, selain melaksanakan latihan simulasi secara berkala bagi menguji keberkesanan susunan semasa dan meningkatkan kesiapsiagaan anggota di lapangan.
"Usaha penambahbaikan turut diteruskan termasuk permohonan tambahan kakitangan, aset perubatan dan ambulans bagi memperkukuh perkhidmatan kecemasan," katanya.
Terdahulu, dalam titah Istiadat Pembukaan Rasmi DUN Perak, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengimbau tragedi menyayat hati nahas di JRTB melibatkan 42 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menyambut Aidiladha bersama keluarga.
Menurut baginda, kemalangan yang berlaku pada 9 Jun 2025 itu disifatkan ngeri dan tragik kerana telah meragut 15 nyawa sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh negara.






