Tiada tanah diserah kepada kerajaan persekutuan di bawah Akta GSA

LocalPolitics
20 Apr 2026 • 10:14 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiada tanah diserah kepada kerajaan persekutuan di bawah Akta GSA
Saarani ketika menjawab soalan lisan Razman sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

IPOH – Kerajaan negeri Perak menegaskan bahawa tiada penyerahan tanah dibuat kepada Kerajaan persekutuan di bawah Akta Penempatan Berkelompok 1960 (GSA).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan akta itu adalah berasaskan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, dalam konteks pelaksanaan Akta GSA 1960, kerajaan negeri kekal sebagai pemilik tanah dan masih menerima hasil melalui cukai tanah manakala tanah yang dibangunkan akan dilupuskan kepada peserta terlibat.

"Secara dasarnya, dalam konteks pelaksanaan Akta GSA 1960, kerajaan negeri tidak menyerahkan tanah kepada kerajaan persekutuan sebaliknya pelupusan tanah dilaksanakan kepada peserta terlibat dan kerajaan negeri masih menerima hasil melalui Cukai Tanah Berulang.

"Akta ini diimplementasikan melalui kerjasama strategik melibatkan kerjasama antara kerajaan negeri sebagai pihak yang menyediakan tanah, kerajaan persekutuan yang mengurus dan membangunkan tanah manakala rakyat yang menerima manfaat," katanya ketika menjawab soalan lisan Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Saarani berkata, Akta GSA 1960 diwujudkan sebagai kerangka undang-undang bagi pembangunan dan pengurusan tanah secara berkelompok khususnya di kawasan luar bandar.

Sementara itu, beliau menjelaskan di Perak, kawasan GSA yang diuruskan oleh FELCRA dan FELDA meliputi keluasan keseluruhan 35,214.18 hektar.

Daripada jumlah itu, seluas 7,190.65 hektar diuruskan oleh FELCRA, melibatkan kawasan penempatan peserta serta ladang tanpa penempatan di beberapa daerah termasuk Manjung, Perak Tengah, Kinta, Muallim dan Batang Padang.

Sementara itu, FELDA pula menguruskan kawasan seluas 28,023.53 hektar melibatkan 17 rancangan di empat daerah iaitu Batang Padang, Kuala Kangsar, Muallim dan Hulu Perak yang memberi manfaat kepada 5,918 peneroka.

Menurut Saarani, pendekatan pembangunan di bawah GSA memberi tumpuan kepada penyediaan kediaman serta sumber pendapatan stabil melalui aktiviti pertanian secara berkelompok.

Tambahnya, kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan itu turut membantu mengatasi isu tanah terbiar selain memastikan hasil pembangunan dapat dipulangkan semula kepada kerajaan negeri serta memberi manfaat berterusan kepada rakyat.