PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Maalysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan beberapa individu akan ditahan secara berperingkat bermula minggu depan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, setakat ini seramai 12 individu telah dipanggil untuk membantu siasatan.
Menurutnya, mereka yang dipanggil terdiri daripada Lembaga Pengarah FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), Setiausaha FIC, Bahagian Perundangan FIC, juru nilai, firma guaman, pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur serta pegawai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kuala Lumpur.
"Keterangan kesemua individu berkenaan dirakam susulan enam kertas siasatan baharu dibuka.
"Kesemua kertas siasatan itu tertumpu kepada isu pembelian dan pengambilalihan aset yang didakwa dilakukan pada harga melebihi nilai penilaian sebenar, sehingga menyebabkan kerugian kepada FELDA.
“Siasatan berkenaan dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) yang diketuai Datuk S Karunanithy, susulan maklumat yang diterima SPRM pada 24 Ogos lalu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Rabu.
Beliau berkata, enam kertas siasatan itu melibatkan isu pembelian aset oleh Syarikat Tataran Aras Sendiang Berhad yang berpusat di Limbang, Sarawak; pengambilalihan Grand Borneo Hotel, Sabah; serta pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di London.
Tambahnya, siasatan turut melibatkan penubuhan Felda Wellness Corporation Berhad, pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House serta pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
Selain itu, kata Abd Halim, satu kertas siasatan lama berhubung hartanah Park City Grand Plaza juga masih dalam siasatan dan kini melalui proses bantuan perundangan bersama (MLA).
“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan nilai rasuah yang dipercayai terbabit masih belum dapat dikenal pasti kerana siasatan masih di peringkat awal,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, SPRM turut menerima maklumat pada 24 Ogos lalu daripada Pengerusi Pertubuhan Badan Bertindak Generasi Palong (Perbagi) berhubung kebimbangan mengenai kualiti anak benih sawit serta pelaksanaan program pembangunan dan tanam semula tanaman sawit di FELDA Palong 7.
"Maklumat berkenaan membabitkan program pembangunan yang dilaporkan memberi manfaat kepada kira-kira 450 peneroka termasuk isu berkaitan pembekalan dan penghantaran.
“SPRM memberi jaminan bahawa siasatan terhadap pengurusan FELDA akan dijalankan secara menyeluruh, adil dan profesional berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang,” ujarnya.
Abd Halim turut meminta semua pihak memberikan ruang secukupnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan, selain tidak membuat spekulasi atau andaian yang boleh menjejaskan kelancaran proses berkenaan.
“Langkah itu penting bagi memastikan hak dan kepentingan negara serta individu yang terlibat terus dipelihara, selain menjaga imej dan kredibiliti Malaysia,” katanya.






