SPRM sedia siasat peruntukan RM180,000 babit ADUN PH

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 3:33 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SPRM sedia siasat peruntukan RM180,000 babit ADUN PH

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menyiasat dakwaan penyalahgunaan peruntukan RM180,000 kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) yang diluluskan sehari sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 5 Jun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan boleh dilakukan sekiranya terdapat laporan beserta bukti yang menunjukkan berlaku penyalahgunaan peruntukan atau kesalahan di bawah undang-undang.

Bagaimanapun, buat masa ini, SPRM tidak melihat sebarang isu berhubung tindakan itu kerana kerajaan yang sah mempunyai hak untuk memperkenalkan sebarang dasar atau meluluskan peruntukan selagi ia tidak bercanggah dengan undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau kerajaan itu kerajaan yang sah, tiada masalah untuk kerajaan membuat sesuatu dasar atau peruntukan, asalkan tidak bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu berbeza dengan tindakan kerajaan sementara yang tidak sepatutnya memperkenalkan dasar baharu yang akan mengikat kerajaan selepas pilihan raya.

“Kerajaan sementara tidak boleh membuat sesuatu dasar baharu yang kemudiannya akan mengikat kerajaan yang akan datang,” jelasnya.

Pada 26 Ogos lalu, 17 ADUN PH dan dua penyelaras DUN di Negeri Sembilan diarahkan memulangkan semula sebahagian peruntukan yang diterima bagi Ogos dan September.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, sebelum ini berkata, kerajaan negeri sebelum itu telah meluluskan peruntukan berkenaan pada 3 Jun dan dana disalurkan pada 4 Jun, sehari sebelum DUN dibubarkan.

Setiap anggota Exco menerima RM225,000 bagi tempoh tiga bulan merangkumi RM180,000 untuk kebajikan awam dan RM45,000 bagi pusat khidmat DUN.

Daripada jumlah itu, RM75,000 bagi Julai boleh digunakan, manakala baki RM150,000 bagi Ogos dan September perlu dipulangkan.

Sementara itu, 10 ADUN PH biasa masing-masing menerima RM174,000 bagi tempoh tiga bulan, membabitkan RM45,000 sebulan untuk kebajikan awam dan RM13,000 bagi pusat khidmat DUN.

Dua penyelaras DUN pula masing-masing menerima RM150,000 bagi tempoh tiga bulan dan keseluruhan jumlah itu perlu dipulangkan.

Keputusan berkenaan bertujuan memastikan penggunaan wang negeri mematuhi status penerima selepas pembubaran DUN, selain menjamin ketelusan serta integriti kewangan kerajaan negeri.

Pejabat Menteri Besar akan mengeluarkan surat tuntutan bayaran balik dan penerima diberi tempoh 30 hari untuk memulangkan wang berkenaan. – UTUSAN

The post SPRM sedia siasat peruntukan RM180,000 babit ADUN PH appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved