JOHOR BAHRU - Kesediaan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk kembali berjuang dalam parti dijangka menjadi perkara utama dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor, pada Sabtu.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat itu juga dijangka menyentuh isu berkaitan gesaan menarik balik penggantungan bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Menurutnya, sekiranya perkara tersebut tidak dibangkitkan oleh pihak lain, beliau sendiri akan mengemukakan perkara itu dalam mesyuarat berkenaan.
“Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor esok, tentu ada pihak yang akan membangkitkan perkara ini, paling tidak ketua-ketua UMNO bahagian.
“Kalau tidak ada yang bangkitkan, saya sendiri akan bangkitkan dalam mesyuarat itu,” katanya selepas menyerahkan sumbangan sempena ziarah Ramadan kepada Balai Polis dan Balai Bomba di Parlimen Pontian pada Jumaat.
Pada Khamis, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong menyatakan kesediaan untuk terus berjuang dalam UMNO dan menegaskan tidak pernah keluar parti meskipun digantung selama tiga tahun.
Sementara Maulizan pula menggesa parti itu menarik balik penggantungan yang dikenakan terhadapnya dan beberapa individu lain sejak tiga tahun lalu.
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, isu tersebut boleh disalurkan melalui pelbagai platform dalam parti termasuk ke peringkat tertinggi.
“Saya terlibat dalam beberapa peringkat, antaranya sebagai ahli Jawatankuasa Rumah Bangsa, ahli mesyuarat nasional dan juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor
“Jadi perkara ini boleh dibawa melalui saluran berkenaan sebelum dibincangkan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi,” katanya yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.
Beliau secara peribadi turut menyambut baik usaha untuk menerima kembali bekas tokoh parti termasuk Khairy Jamaluddin yang ingin kembali menyertai UMNO.
“Saya sendiri akan menyebut dalam mesyuarat bahawa kita perlu mengalu-alukan mereka, tetapi keputusan muktamad tetap perlu melalui mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi,” katanya.
Tambahnya, setakat ini kepimpinan parti di peringkat tertinggi menyatakan tiada syarat dikenakan untuk menerima semula bekas ahli yang mahu kembali.
“Jadi dengan mudahnya kita akan menerima mereka. Kita tidak mahu marah-marah, sebaliknya perlu berbincang dan berunding secara baik,” katanya.
Pada 6 Mac lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pelawaan di bawah inisiatif 'Rumah Bangsa' itu juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu untuk menyertai UMNO.

