Isu jenama diboikot, Alif Satar nyatakan pendirian tegas

8 Oct 2026 • 9:12 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Isu jenama diboikot, Alif Satar nyatakan pendirian tegas

PETALING JAYA: Selebriti dan duta produk penjagaan diri sebuah jenama dari Indonesia, Alif Satar, tampil menyuarakan pendirian tegasnya bahawa tidak bersetuju dengan hantaran yang dibuat jenama tersebut yang didakwa mencetuskan provokasi antara negara, semalam.

Tegas Alif, walaupun dilantik sebagai duta jenama itu di Malaysia, dia tidak berkompromi dengan sebarang kandungan media sosial yang merendahkan mana-mana pihak.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya percaya bahawa negara dan rakyat kita mestilah dihormati.

“Prinsip saya sangat jelas, saya memang tidak pernah bersetuju dengan sebarang kandungan yang merendahkan mana-mana negara atau sesiapa pun.

“Saya mengambil maklum mengenai permohonan maaf yang telah dikemukakan oleh pihak Khaf berhubung isu ini,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai permohonan maaf tersebut, Alif berpendapat bahawa kata-kata sahaja tidak memadai, sebaliknya pihak pengurusan jenama perlu membuktikan komitmen mereka melalui tindakan yang lebih nyata bagi mengembalikan keyakinan pengguna.

Ujarnya, kepercayaan yang telah tercalar hanya dapat dipulihkan sekiranya terdapat langkah penyelesaian yang matang dan penuh rasa hormat terhadap sensitiviti masyarakat.

“Kepercayaan perlu dipulihkan dengan tindakan yang jelas. Saya amat berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik, matang dan penuh rasa hormat antara semua pihak.

“Saya percaya dalam apa jua keadaan sekali pun, kita boleh berbeza pandangan tanpa perlu merendah-rendahkan sesiapa,” jelasnya lagi.

Terdahulu, tular apabila sebuah jenama didakwa membuat hantaran yang menyinggung perasaan rakyat Malaysia di akaun rasmi milik mereka sehingga mencetuskan gerakan boikot secara besar-besaran di platform media sosial.

Sehingga kini, gerakan boikot terhadap jenama berkenaan masih rancak diperkatakan malah nama Alif Satar dipetik untuk memberikan penjelasan. -UTUSAN

The post Isu jenama diboikot, Alif Satar nyatakan pendirian tegas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved