
Kerajaan Negeri Kedah akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan kebenaran merayu berhubung isu penghentian pengeluaran dan pembaharuan lesen premis perjudian di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan daripada peguam terlebih dahulu bagi memahami implikasi keputusan berkenaan sebelum menentukan tindakan seterusnya.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil selepas ini tidak bercanggah dengan keputusan mahkamah.
“Peguam akan beri penjelasan apa kesannya, apa yang mengikat kita, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh,” katanya seperti yang dilporkan menerusi Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA).
Sanusi berkata, pihaknya juga akan meneliti sama ada masih terdapat ruang dari sudut undang-undang untuk kerajaan negeri mengambil tindakan berkaitan isu lesen premis perjudian.
Jelasnya, kerajaan negeri perlu memahami terlebih dahulu skop keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum membuat sebarang keputusan mengenai pengeluaran lesen baharu.
Baca juga:“Saya tak ada keputusan itu. Tengoklah, dia punya kehendak macam mana. Hati saya dengan Tuhan saya. Tuhan saya tak bagi, tetapi ada makhluk bagi. Hati saya tetap dengan Tuhan saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sanusi berkata kerajaan negeri optimis masih terdapat jalan lain yang boleh dipertimbangkan, namun ia perlu mengambil kira keputusan mahkamah.
Menurutnya, pendekatan kerajaan negeri terhadap kegiatan perjudian juga tidak bermaksud menafikan hak golongan bukan Islam.
“Kita tak ada nafi hak apa pun. Tetapi kalau benda mungkar, Tuhan suruh sekat,” katanya.
Beliau berkata, isu berkenaan bukan berkaitan larangan terhadap golongan bukan Islam, sebaliknya pendirian kerajaan negeri terhadap kegiatan perjudian yang bertentangan dengan prinsip Islam.
Sanusi turut menegaskan pendiriannya untuk tidak meredai perkara yang dianggap mungkar menurut prinsip Islam.
“Hati saya dengan Tuhan saya. Saya tak suka (judi), tak boleh dalam Islam. Kalau saya reda dengan mungkar, saya dosa,” katanya.
Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakan negeri itu menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin turut memerintahkan Kerajaan Negeri Kedah membayar kos RM50,000.






