Isu lori Imigresen: Jawatankuasa siasatan ditubuh 

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 3:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Isu lori Imigresen: Jawatankuasa siasatan ditubuh 

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menubuhkan jawatankuasa siasatan khas bagi meneliti secara menyeluruh berkaitan kemalangan maut membabitkan sebuah lori jabatan itu di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata, siasatan dalaman turut memberi tumpuan terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan jawatankuasa berkenaan.

Pada masa sama, katanya, pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan sehingga mengorbankan tiga beranak itu telah digantung tugas sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tanpa menjejaskan proses siasatan.

“Tindakan segera jabatan adalah menggantung tugas pemandu terbabit sehingga kes berkenaan selesai.

“Kita memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dalam kes ini. JIM juga sedang menjalankan siasatan dalaman dari aspek pematuhan SOP,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zakaria berkata, semua perkara berkaitan insiden berkenaan akan diteliti oleh jawatankuasa siasatan jabatan sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.

“JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran prosedur atau kecuaian, sekiranya dikenal pasti berlaku, dan tindakan akan diambil berdasarkan dapatan siasatan,” jelasnya.

Semalam, media melaporkan tiga sekeluarga maut selepas dilanggar lori JIM yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini. 

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, lori Isuzu ‘Black Maria’ JIM tanpa muatan dipercayai dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit. 

Ia bagi operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) sebelum memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, dengan lampu suar (beacon) dan siren diaktifkan.

Pada masa sama, sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau dipercayai tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori berkenaan, menyebabkan lori hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kereta Inokom Matrix.

Tiga mangsa berkenaan Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, yang sedang berjalan kaki maut di tempat kejadian. – UTUSAN

The post Isu lori Imigresen: Jawatankuasa siasatan ditubuh  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved