SHAH ALAM – Kesalahan yang dilakukan individu dalam isu Tabung Haji tidak wajar dikaitkan dengan sesuatu bangsa secara keseluruhan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan, perbuatan mencuri atau melakukan kesalahan boleh berlaku dalam mana-mana kelompok masyarakat tanpa mengira latar belakang bangsa.
"Ada Melayu yang mencuri. Ada Cina yang mencuri. Ada India yang mencuri. Dalam setiap bangsa, ada yang baik dan ada yang melakukan kesalahan.
"Jadi jangan kerana kesalahan beberapa individu, satu bangsa pula dihina dan direndahkan," katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan ketika perbahasan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat dilapor secara sinis menyentuh isu salah laku dan penyelewengan membabitkan orang Melayu Islam.
Beliau mencelah ketika Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengambil bahagian dalam perbahasan dengan mempersoalkan sama ada tindakan mengambil atau menyalahgunakan wang rakyat boleh dianggap tidak bermasalah jika dilakukan individu Melayu beragama Islam.
Dalam pada itu Akmal menegaskan, perkara sama juga perlu dilihat secara adil dalam kes membabitkan individu daripada bangsa lain yang pernah didakwa terlibat dalam isu korporat atau kontroversi tertentu.
"Kerana jangan lupa, isu korporat mafia isu terowong juga ada bangsa lain yang dituduh terlibat, adakah kita nak salahkan bangsa mereka?
"Kalau ada yang mencuri, tangkap. Siasat. Dakwa. Bawa ke mahkamah. Biar undang-undang tentukan siapa bersalah.
"Lebih-lebih lagi kalau kamu berada dalam kerajaan. Kamu ada kuasa, ada agensi, ada undang-undang. Gunakanlah," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan kerajaan supaya tidak sekadar menuding jari, sebaliknya mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang disyaki melakukan kesalahan.
"Jangan kerana pelaku itu Melayu, kamu hina Melayu secara keseluruhan, tetapi jika pelaku itu bangsa lain, kamu diam menikus.
"Penjenayah ada bangsa, tetapi jenayah tidak mengenal bangsa," katanya.






