
ALOR SETAR: Seorang lelaki etnik Rohingya yang tular memandu sebuah pikap baru-baru ini ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut menyita kenderaan itu di Jalan Timur 1, di sini.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, kenderaa pikap jenis Isuzu D-Max dipandu lelaki berusia 33 tahun yang bekerja sebagai penyelia tapak projek itu ditahan dalam Operasi Pemandu Warganegara Asing (Pewa) pada pukul 8.07 pagi tadi.
“Pemeriksaan mendapati pemandu pikap itu tidak memiliki lesen memandu kompeten (CDL), manakala pikap didapati mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insurans sah.
“Siasatan mendapati pikap tersebut yang digunakan sejak Mei lalu adalah milik sebuah syarikat yang didakwa diberikan kepada lelaki itu untuk kegunaan kerja harian,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, dalam kes berasingan, dua remaja lelaki etnik sama yang menaiki sebuah motosikal cuba melarikan diri ketika tindakan pemeriksaan dijalankan di Kilometer 171, Jalan Serdang-Selama di Kulim, dekat sini kelmarin.
Stien berkata, mereka yang dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kebun kelapa sawit bertindak memecut dengan melalui laluan sempit sejauh kira-kira lima kilometer tanpa mengendahkan amaran penguat kuasa.
“Mereka akhirnya berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati penunggang motosikal tiada lesen memandu manakala LKM serta insurans motosikal berkenaan juga didapati sudah tamat tempoh,” katanya.-UTUSAN
The post Lelaki Rohingya tular pandu pikap ditahan JPJ appeared first on Utusan Malaysia.






