Isuzu D-Max capai rekod penguasaan pasaran trak pikap sebanyak 18.3% pada suku pertama 2025

21/04/2025 - 12:27
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 21 April – Di sebalik cabaran sentimen negatif terhadap kenderaan diesel berikutan kenaikan harga bahan api, Isuzu D-Max membuktikan keunggulannya dengan mencatatkan prestasi jualan terbaik setakat ini sekali gus memperkukuh kedudukannya terhadap trak pikap pilihan tempatan.
Bagi suku pertama tahun ini, Isuzu Malaysia mencatat penguasaan pasaran sebanyak 18.3%, peningkatan ketara berbanding 14% yang dicapai dalam tempoh sama tahun lalu, menjadikannya pengeluar kedua tertinggi dalam segmen trak pikap.
Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo berkata, prestasi kukuh itu disokong permintaan berterusan terhadap model Isuzu D-Max yang sinonim dengan penjimatan bahan api, kos penyelenggaraan rendah dan tahap kebolehpercayaan tinggi elemen penting yang menjadi pertimbangan utama pengguna, khususnya dalam persekitaran ekonomi yang menekan.
"Ramai pengguna kini semakin sedar, D-Max bukan sahaja trak lasak yang berprestasi, tetapi juga sebuah pelaburan pintar jangka panjang yang rendah kos operasi, cukai jalan yang murah, dan dipercayai masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.
Isuzu terus mengekalkan kedudukannya sebagai pemain dominan di Malaysia Timur, khususnya Sabah dengan penguasaan pasaran sebanyak 28.4%.
Di Semenanjung Malaysia, jenama itu turut mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila penguasaan pasaran meningkat kepada 17.1%, berbanding 12.1% pada 2024.
Tiga varian utama D-Max yang dilengkapi enjin 1.9-liter kekal menjadi pilihan utama pengguna. Varian 1.9L 4x4 Auto Premium, 1.9L 4x4 Auto Standard, dan 1.9L 4x2 Auto Plus menyumbang 72.7% daripada jumlah jualan keseluruhan, menandakan trend pengguna yang semakin mementingkan kecekapan bahan api dan keupayaan serbaguna.
Dua daripada varian ini turut mencipta rekod dalam "Malaysian Book of Records" apabila berjaya mencatat jarak pemanduan sejauh 2,004 kilometer dengan satu tangki minyak, satu penanda aras baharu dalam segmen kenderaan diesel tempatan.
Ciri-ciri tambahan seperti kos penyelenggaraan rendah, jaminan lima tahun, teknologi canggih serta kadar cukai jalan bawah RM400 di Semenanjung menjadikan D-Max satu pilihan ekonomi yang kukuh bukan sekadar untuk kegunaan komersial, malah sesuai untuk kegunaan harian.
Dengan pencapaian semasa dan momentum pertumbuhan yang positif, Isuzu dijangka terus memperluaskan pengaruhnya dalam pasaran trak pikap Malaysia dalam memperkukuhkan kedudukan sebagai jenama pilihan di kalangan pengguna yang bijak membuat kira-kira dan mementingkan nilai jangka panjang.- DagangNews.com
standard

