Pengedar jubin, BMS Holdings rancang penyenaraian di Pasaran ACE bagi biayai peluasan operasi

LocalBusiness & Finance
17 Apr 2025 • 10:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengedar jubin, BMS Holdings rancang penyenaraian di Pasaran ACE bagi biayai peluasan operasi

image is not available

17/04/2025 - 10:28

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 17 April - Pengedar jubin dan batu, BMS Holdings Bhd merancang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi membiayai rancangan peluasan operasi dan kemudahan di seluruh negara.

Menurut draf prospektus kepada Bursa Malaysia, penyenaraian itu melibatkan terbitan awam sebanyak 364 juta saham baharu, bersamaan 23.64% daripada modal saham diperbesarkan syarikat sebanyak 1.54 bilion saham.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 77 juta saham diperuntukan kepada orang awam Malaysia, manakala 61.6 juta saham untuk pengarah, kakitangan, dan penyumbang yang layak. Baki 188.9 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur terpilih, dan 36.5 juta saham pula kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Selain itu, 156 juta saham sedia ada atau 10.13% daripada modal diperbesarkan akan dijual kepada pelabur Bumiputera terpilih melalui penempatan persendirian. Secara keseluruhan, penyenaraian itu akan membuka sehingga 33.77% pegangan saham kepada pelabur luar.

Beroperasi sejak 1993, rekod untung konsisten BMS Holdings, yang diperbadankan secara rasmi pada 2023, sebenarnya telah beroperasi sejak 1993 di bawah nama Jubin 1990, sebelum berkembang ke pasaran runcit, borong, dan projek secara berperingkat.

Kini, syarikat itu mengendalikan 20 bilik pameran runcit di Semenanjung dan Sarawak, menjual jubin porselin dan seramik, batu semula jadi seperti marmar dan granit, batu kejuruteraan, jubin mozek serta produk pelengkap bilik mandi dan dapur.

BMS Holdings kini mengendalikan 20 bilik pameran runcit di seluruh Semenanjung Malaysia, termasuk Johor, Negeri Sembilan, Selangor, dan Kuala Lumpur serta di Sarawak.

Untung bersih syarikat menunjukkan peningkatan konsisten, daripada RM10.33 juta pada tahun kewangan 2022 (FY22) kepada RM14.28 juta (FY23), dan seterusnya RM21.23 juta pada FY24. Pendapatan syarikat turut meningkat daripada RM207.89 juta kepada RM255.05 juta, dan seterusnya RM293.92 juta, dengan margin melonjak daripada 4.97% kepada 7.22% dalam tempoh sama.

Dana hasil IPO akan digunakan untuk membiayai peluasan rangkaian runcit dan pengedaran, termasuk membuka bilik pameran baharu di Seremban, Selangor dan Kuala Lumpur, serta menubuhkan pusat pengedaran baharu di Lembah Klang.

Syarikat juga merancang untuk membeli forklift elektrik dan menaik taraf fasiliti sedia ada seperti bilik pameran di Kota Damansara, Kepong, dan Klang serta pusat pengedaran di Pasir Gudang.

BMS mahu meningkatkan kecekapan operasi dengan penggunaan sistem ERP dan WMS (Enterprise Resource Planning dan Warehouse Management System) yang diperluas.

Naik taraf ini termasuk pemasangan perisian dan perkakasan yang membolehkan sistem pusat dengan capaian data masa nyata dari bilik pameran dan pusat pengedaran.

Hasil daripada penjualan saham sedia ada akan diagihkan kepada pemegang saham utama dan pengasas bersama, iaitu Pengarah Urusan, Ang Kwee Peng, Pengarah Eksekutif, Lee Kok Chuan, serta 10 pemegang saham lain yang menjual.

Pengarah Urusan, Ang Kwee Peng, pegangan akan turun dari 46.35% ke 30.82%. Sementara Pengarah Eksekutif, Lee Kok Chuan, dari 45.58% ke 30.33%.

Alliance Islamic Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan untuk urus niaga IPO itu.- DagangNews.com

standard