Isuzu D-MAX jelajah 1,756km merentasi Semenanjung dengan hanya satu tangki diesel

LocalCars
28 Aug 2026 • 9:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Isuzu D-MAX jelajah 1,756km merentasi Semenanjung dengan hanya satu tangki diesel Image from: Isuzu D-MAX jelajah 1,756km merentasi Semenanjung dengan hanya satu tangki diesel liza28/08/2026 - 09:37 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Isuzu D-MAX generasi baharu berjaya mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 1,756 kilometer hanya dengan menggunakan satu tangki penuh diesel menerusi cabaran D-MAX Satu Tangki, Satu Negara (One Tank. One Nation Challenge).

 

Pencapaian itu membuktikan kecekapan penggunaan bahan api enjin diesel turbo 2.2 liter generasi baharu yang digunakan pada model pikap tersebut, selain mengetengahkan keupayaannya menghadapi pelbagai keadaan jalan di Malaysia.

 

Cabaran itu bermula pada 17 Ogos dari Balakong, Selangor apabila dua unit Isuzu D-MAX memulakan perjalanan mengelilingi negara mengikut laluan berlawanan arah jam.

 

Kedua-dua kenderaan itu melalui Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor sebelum menamatkan perjalanan di Pusat 3S Isuzu di Jinjang, Kuala Lumpur pada 22 Ogos.

 

Lebih menarik, kedua-dua Isuzu D-MAX itu masih mempunyai lebih 4% baki bahan api dalam tangki masing-masing selepas menamatkan perjalanan sejauh 1,756 kilometer tersebut.

 

t

 

Uji Kecekapan Dalam Pelbagai Keadaan Jalan

Perjalanan tersebut bukan sekadar melalui lebuh raya, malah turut melibatkan jalan utama, keadaan lalu lintas sesak, hujan serta laluan berbukit termasuk Laluan Timur-Barat dari Jeli ke Gerik.

 

Ketua Pegawai Operasi Kenderaan Komersial Ringan Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo berkata cabaran tersebut membuktikan keupayaan sebenar Isuzu D-MAX dan enjin diesel turbo 2.2 liter baharunya dalam keadaan penggunaan yang hampir sama dengan pemanduan harian rakyat Malaysia.

 

Menurutnya, Isuzu mahu memastikan cabaran itu mencerminkan pelbagai keadaan jalan yang biasa dihadapi pengguna, termasuk perjalanan jarak jauh di lebuh raya dan jalan utama serta laluan di kawasan berbukit.

 

“Kami mahu membuktikan keupayaan Isuzu D-MAX dan enjin 2.2 liter baharu dalam keadaan pemanduan sebenar yang mencerminkan perjalanan harian pengguna di Malaysia.

 

t

 

ARTIKEL BERKAITAN: Isuzu D-MAX 2.2 mulakan cabaran jelajah Semenanjung dengan satu tangki diesel

 

“Isuzu turut berkongsi perkembangan perjalanan itu secara langsung menerusi platform media sosial syarikat bagi membolehkan orang ramai mengikuti keseluruhan cabaran tersebut,” katanya.


Dua Varian Tamatkan Perjalanan Dengan Baki Bahan Api

Dua model yang digunakan dalam cabaran itu ialah Isuzu D-MAX 4x4 Auto Premium dan Isuzu D-MAX 2.2L TD 4x2 Auto Plus dengan kedua-duanya berjaya tiba di garisan penamat dengan baki bahan api melebihi 4%.

 

Varian 2.2L TD 4x2 Auto Plus dipandu oleh Sing Yuin Christy yang sebelum ini pernah mencatatkan rekod dalam Buku Rekod Malaysia bagi jarak paling jauh dipandu menggunakan sebuah trak pikap dengan hanya satu tangki bahan api.

 

Christy berkata, gabungan enjin baharu dengan transmisi automatik lapan kelajuan menjadikan D-MAX 2.2 liter lebih mudah dipandu dan membantu meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api.

 

Menurutnya, nisbah gear yang sesuai membolehkan kenderaan berada pada gear yang tepat mengikut keadaan jalan, manakala penggunaan gear ketujuh dan kelapan ketika perjalanan di jalan utama dan lebuh raya membantu mengurangkan penggunaan bahan api.

 

t

 

Lebih Ringan, Lebih Menjimatkan Untuk Perjalanan Jauh

Model 2.2L TD 4x2 Auto Plus dibangunkan berasaskan varian Standard tanpa sistem pacuan empat roda yang mengurangkan berat kenderaan kira-kira 80 kilogram serta mengurangkan komponen sistem pacuan tambahan.

 

Isuzu berkata, sebagai satu-satunya pengeluar yang menawarkan varian 4x2 dalam segmen berkenaan di Malaysia, model itu memberikan pilihan yang lebih menjimatkan dan sesuai untuk perjalanan jarak jauh serta kegunaan harian di kawasan bandar dan di jalan berturap atau separa berturap.

 

Sempena cabaran berkenaan, Isuzu turut menganjurkan pertandingan Teka Jarak Akhir (Guess the Final Mileage) dengan hadiah keseluruhan melebihi RM10,000.

 

Seorang peserta dari Kluang, Johor berjaya meneka dengan tepat jarak akhir perjalanan sebanyak 1,756 kilometer dan membawa pulang baucar membeli-belah barangan runcit bernilai RM5,000.

 

Pencapaian dalam cabaran tersebut mengukuhkan usaha Isuzu untuk mengetengahkan kelebihan enjin diesel turbo 2.2 liter generasi baharunya dari segi prestasi, ketahanan, kebolehpercayaan dan kecekapan penggunaan bahan api. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved