ITMAX raih kontrak RM186.8 juta PERKESO bangunkan portal pekerjaan berkuasa AI

LocalTechnology
18 Aug 2026 • 6:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ITMAX raih kontrak RM186.8 juta PERKESO bangunkan portal pekerjaan berkuasa AI Image from: ITMAX raih kontrak RM186.8 juta PERKESO bangunkan portal pekerjaan berkuasa AI amree18/08/2026 - 18:30 Oleh AMREE AHMAD amreee@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 OgosITMAX System Berhad memperluas keupayaan infrastruktur digitalnya ke sektor kerajaan selepas memperoleh kontrak bernilai RM186.8 juta daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membangunkan portal pekerjaan berkuasa kecerdasan buatan (AI).

 

Kontrak selama lima tahun itu bermula 1 September 2026 hingga 31 Ogos 2031, sekali gus membuka ruang kepada ITMAX untuk mengembangkan teknologi dan kepakaran yang dibangunkan menerusi penyelesaian bandar pintar kepada segmen digital baharu.

 

ITMAX berkata kontrak tersebut meliputi pembangunan, integrasi, pelaksanaan, operasi dan penyelenggaraan PERKESO Employment Portal dengan nilai RM186.84 juta termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 8%.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX, William Tan Wei Lun berkata projek berkenaan bukan sekadar pembangunan portal konvensional kerana ia turut merangkumi integrasi sistem dan data, padanan berasaskan AI, perkhidmatan awan serta keselamatan siber.

 

Menurut beliau, kontrak itu mencerminkan kebolehskalaan keupayaan AI dan platform digital ITMAX untuk digunakan merentasi sektor serta kegunaan baharu di luar perniagaan bandar pintar.

 

Katanya, ITMAX telah membangunkan keupayaan AI, perisian, data dan integrasi sistem yang boleh diskalakan menerusi penyelesaian bandar pintarnya sejak beberapa tahun lalu.

 

ITMAX_DagangNews2026

 

“Anugerah ini menunjukkan keupayaan kami menggunakan teknologi teras sama di luar bandar pintar ke dalam sektor baharu, sambil kekal dalam bidang teras sebagai penyedia penyelesaian infrastruktur digital bersepadu,” katanya.

 

ITMAX menjangkakan kontrak tersebut memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham** kumpulan sepanjang tempoh kontrak, sekali gus menyediakan sumber hasil baharu yang berpotensi mengukuhkan pertumbuhan jangka panjang syarikat.

 

Kumpulan itu berkata projek berkenaan turut berpotensi meluaskan pasaran boleh sasar ITMAX memandangkan teknologi asas yang dibangunkan boleh digunakan untuk pelbagai industri dan keperluan digital.

 

Dalam perkembangan sama, PERKESO merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang bertanggungjawab mentadbir skim perlindungan keselamatan sosial untuk pekerja serta tanggungan mereka di Malaysia.

 

Lembaga Pengarah ITMAX berkata kontrak berkenaan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa berkaitan, manakala risiko yang dikenal pasti adalah risiko operasi biasa. Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan ITMAX mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved