amree10/08/2026 - 12:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos – Tender baharu bernilai RM147 juta yang diraih Southern Score Builders Berhad bagi projek pusat data (DC) membuka peluang kepada kumpulan itu memperoleh pakej kerja susulan.
Menurut Phillip Capital, potensi luas itu termasuk daripada pelanggan yang sedia ada, kerana kumpulan pembinaan berkenaan masih membida untuk mendapatkan lagi baki fasa seterusnya projek berkenaan.
Justeru ujar firma tersebut, kedudukannya sebagai kontraktor sedia ada memberi kelebihan untuk meraih kerja susulan, kerana pemahaman terhadap keadaan tapak serta keperluan teknikal pelanggan berkenaan.
"Bagaimanapun, peluang pertumbuhan Southern Score dalam sektor DC turut ada cabaran lain, termasuk risiko kelewatan pelaksanaan projek, persaingan sengit dan turun naik harga bahan mentah," katanya.
Phillip Capital merujuk kontrak diperoleh anak syarikatnya, SJEE Engineering Sdn Bhd, daripada sebuah syarikat pembinaan tempatan untuk melaksanakan kerja Electrical Package 3 Works bagi DC.
Firma itu percaya pelanggan akhir projek berkenaan merupakan sebuah syarikat dari Amerika Syarikat (AS), dengan kontrak ini sudah pun bermula pada Julai 2026 dan dijadualkan siap menjelang Januari 2028.

Kemenangan itu merupakan kontrak pertama Southern Score bagi tahun kewangan 2027 (FY27), mewakili kira-kira 13% daripada andaian penambahan kontrak baharu RM1.1 bilion yang dibuat firma berkenaan.
"Tender baharu ini turut meningkatkan buku tempahan terkumpulnya kepada RM1.5 bilion, dengan projek DC juga menyumbang 33% daripada keseluruhan nilai buku tempahan tersebut," tambah Phillip Capital.
Berdasarkan andaian margin keuntungan bersih iaitu 15%, ia menganggarkan projek itu boleh menjana RM22 juta keuntungan sepanjang tempoh kontrak, dengan RM11 juta daripadanya boleh diagihkan balik.
Sebahagian besar sumbangan keuntungan daripada projek itu ujarnya, dijangka dapat diiktiraf pada tahun kalendar 2027, sekali gus memperkukuhkan keterlihatan pendapatan Southern Score sendiri.
Phillip Capital turut kekal positif terhadap prospek penambahan kontrak, disokong banyak tender bernilai RM1.3 bilion merangkumi projek DC (40%), kediaman (30%) dan bangunan berkaitan kerajaan (30%).
"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan ini dengan harga sasaran (TP) 74 sen sesaham, dengan potensi kenaikan mampu mencecah kira-kira 35.8%," kata firma itu lagi.
Penilaian itu turut disokong pertumbuhan buku tempahan DC serta keterlihatan pendapatan daripada pelanggan utama sedia ada termasuk projek solar dan syarikat Radium. - DagangNews.com






