BACHOK - Isteri kepada Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, 56, iaitu Arabi Muhammad Amin,56, tidak dapat menahan sebak selepas anak ketiga memohon restu untuk mengimamkan solat jenazah bapa mereka pada Selasa.
Allahyarham Azman yang menhidap kanser usus menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada jam 2.40 pagi.
Arabi yang merupakan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat itu berkata, dia merasa bangga apabila Abi Aidiel Afiqi, 22, yang merupakan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sanggup menggalas tanggungjawab tersebut.
"Saya bagitahu dia, itulah yang dimahukan oleh bapa mereka," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mujur, Jelawat di sini.
**media[3484281]**
Dia juga terkejut apabila solat jenazah arwah suaminya terpaksa dilakukan sebanyak tiga kali kerana kehadiran orang yang terlalu ramai.
Ujarnya, sebagai isteri dia reda dengan pemergian Azman.
Arabi berpuas hati dapat menjaga arwah sepanjang tiga bulan selepas disahkan menghidap kanser tahap empat.
"Kali terakhir kami bercakap ialah pada 29 Mac lalu selepas memaklumkan padanya ada darah beku pada paru-paru dan doktor meminta untuk ditidurkan.
"Suami bersetuju dan dia percaya ia adalah salah satu ikhtiar untuk sembuh" katanya.
**media[3484279]**
Terdahulu menurut Arabi, suaminya itu disahkan menghidap kanser pada 28 Disember 2025 dan pernah menjalani pembedahan pada 8 Januari lalu.
Tambah dia, sepanjang rawatan Allahyarham telah menjalani dua kali kemoterapi.
Ujarnya lagi, lebih mengharukan dia dan keluarga dapat menyambut Aidilfitri bersama di rumah selepas tahap kesihatan Allahyarham berada dalam keadaan baik empat hari sebelum hari raya.
"Namun semakin merosok pada 29 Mac sehingga perlu dibawa ke hospital kembali," katanya yang sudah 30 tahun mendirikan rumah tangga bersama Azman.
Sebelum itu jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Baqi Mukim Mujur, Jelawat pada jam 9.00 pagi.
**media[3484280]**
Selepas itu, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuin Pasir di sini.
Allahyarham Azman mempunyai lima orang cahaya mata terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan.


