
PETALING JAYA: Pelari pecut wanita negara, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira mahu menikmati lariannya tanpa tekanan apabila bakal beraksi di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 (B-20) di Oregon, Amerika Syarikat yang membuka tirainya hari ini hingga Ahad.
Izzatul berkata, dia mahu mengutip pengalaman sebanyak mungkin di kejohanan tersebut sebelum mengalihkan tumpuannya kepada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan menjadi sasaran utamanya musim ini.
Jelasnya, dia tidak menetapkan sebarang sasaran atau catatan masa di Oregon kerana sedar bakal berdepan kelompok pelari terbaik dunia.
“Sudah tentu saya akan bertanding dengan atlet-atlet yang hebat jadi saya mahu berikan yang terbaik dan persembahkan yang saya mampu. Saya tak letak apa-apa sasaran untuk catatan masa.
“Kalau ada rezeki untuk saya buat catatan masa terbaik iaitu di bawah 11.71 saat (s) itu adalah rezeki yang sangat indah untuk saya,” katanya.
Izzatul melakukan larian 11.71s ketika memenangi acara 100 meter (m) di Terbuka Malaysia pada Jun lalu sekali gus menjadi catatan terbaiknya pada musim ini.
Mengakui perasaan gementar sukar dielakkan apabila beraksi di pentas dunia, Izzatul bagaimanapun bertekad untuk mengawal emosi agar ia tidak mengganggu prestasinya.
“Gementar memang akan ada dalam mana-mana kejohanan, tetapi saya mahu kekal tenang dan tidak mahu menjadikannya sebagai satu tekanan.
“Sudah tentu saya mahu menghabiskan larian tanpa mengalami sebarang kecederaan kerana sasaran utama saya tahun ini adalah SUKMA. Kejohanan ini hanyalah satu hentian dalam perjalanan menuju SUKMA,” katanya.
Di Oregon, Izzatul akan menggalas cabaran dalam acara 100m bersama dua lagi pelari pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Muhammad Airiel Iskandar Rusli. Seorang lagi wakil Malaysia, Avinaash Nair Sathiaseelan pula dijadual beraksi dalam acara 400m berpagar. – UTUSAN
The post Izzatul enggan dibebani tekanan di Oregon appeared first on Utusan Malaysia.





