
JABATAN Air akan berusaha memantau keadaan mana-mana jalan yang digali bagi tujuan pembaikan atau pemasangan paip agihan bawah tanah untuk memastikan kerja penurapan semula dilakukan dengan sempurna.
Sehubungan itu agensi berkaitan mengarahkan kontraktor penyelenggaraan supaya memberi perhatian segera terhadap jalan-jalan terbabit bagi meminimumkan kesulitan yang dialami pengguna jalan raya.
Sementara itu syarikat pengurusan (MC) bagi sebuah hartanah kediaman di Penampang turut berjanji untuk mempertingkatkan usaha penyelenggaraan jalan dalam kawasanya.
Langkah ini diambil susulan aduan berasingan mengenai kesulitan yang dihadapi pemandu ketika menggunakan jalan di Taman Kuala Manggatal Fasa 3 dan Country Heights Apartments.
Seorang penduduk di Taman Kuala Manggatal meluahkan rasa kecewa terhadap keadaan jalan yang rosak akibat kerja pembaikan paip bocor di bawah Lorong Kuala Manggatal 19 manakala penghuni di Country Heights Apartments pula mempersoalkan kewujudan lubang jalan (pothole) di laluan menuju ke tempat letak kereta berbumbung Blok L.
Mereka bimbang kemalangan serius boleh berlaku pada bila-bila masa terutama jika pemandu hilang kawalan semasa cuba mengelak bahagian jalan yang rosak.
Kedua-dua aduan itu disalurkan kepada Jabatan Air dan MC untuk tindakan lanjut.
Jurucakap jabatan berkata kakitangan mereka telah ke lokasi di Taman Kuala Manggatal pada hari sama selepas menerima aduan tersebut.
“Mereka mendapati sebahagian Lorong Kuala Manggatal 19 berada dalam keadaan rosak teruk,” katanya.
Hasil semakan rekod jabatan menunjukan kawasan itu digali kira-kira 10 hari sebelum itu bagi membaiki paip jenis Mid-Steel-Cement-Lined berukuran 150 milimeter yang mengalami kebocoran.
“Kontraktor yang dilantik perlu menunggu tanah yang ditimbus menjadi padat sebelum kerja penurapan dilakukan.
“Jika bitumen disapu terus selepas pembaikan selesai kemungkinan besar permukaan jalan akan mendap,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya kontraktor terbabit gagal kembali pada masa sepatutnya untuk menyiapkan kerja tersebut.
Dalam tempoh itu air hujan turut bertakung di bahagian jalan yang rosak.
Jurucakap itu berkata kontraktor berkenaan bersama pasukannya kembali ke lokasi beberapa hari selepas pemeriksaan terbaru dijalankan.
“Batu kelikir telah ditabur di bahagian yang terjejas sebelum diratakan dan disalut dengan bitumen. Sebuah jentera penggali turut digunakan untuk memudahkan kerja-kerja tersebut,” katanya.
Sementara itu jurucakap MC Country Heights Apartments memaklumkan bahawa jalan ke dua blok termasuk Blok L telah ditampal menggunakan konkrit bagi mengurangkan kesulitan yang dialami pemandu.
Menurutnya pemeriksaan awal pada awal Oktober mendapati kerosakan tersebut berpunca daripada air bertakung ketika hujan lebat.
“Kami bercadang menggantikan paip di bawah jalan berkenaan bagi memastikan air hujan dapat dialirkan dengan lebih berkesan ke longkang monsun berhampiran.
“Sekiranya rancangan ini diteruskan, kerja penggalian akan dilakukan secara berperingkat untuk memasang paip berlubang baharu,” katanya.
Tambahnya keseluruhan jalan yang terlibat akan diselaras semula dan disalut asfalt baharu sebaik sahaja masalah saliran diselesaikan.
“Kami berharap lapisan asfalt baharu dapat diturap secepat mungkin,” ujarnya.



