amree05/11/2026 - 12:50 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov — Sebanyak 43 sampel petrol RON95 yang diuji Jabatan Kimia didapati mempunyai kandungan air di bawah 0.05 peratus berdasarkan kepada analisis awal, sekali gus memberikan petunjuk awal berhubung aduan kemungkinan pencemaran bahan api itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan, hasil daripada dapatan berkenaan terkandung dalam laporan awal diterbitkan oleh jabatan tersebut yang bertarikh 29 Oktober 2026.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) di Dewan Rakyat pada Khamis berhubung keputusan ujian sampel petrol yang dikumpulkan susulan aduan pengguna mengenai kemungkinan berlaku pencemaran air dalam RON95.
"Sebanyak 262 sampel petrol RON95 sudah dikumpulkan Jabatan Kimia, yang masing-masing terdiri daripada 259 sampel diambil terus dari stesen minyak tertentu manakala tiga lagi sampel dari depoh syarikat minyak," jelas beliau.
Bagaimanapun ujar Armizan, baki sampel masih menjalani analisis dan laporan penuh kajian hanya akan dikeluarkan agensi tersebut selepas semua ujian berkenaan selesai dilaksanakan.
Tambah beliau, kementerian mula menerima aduan pada 3 Oktober 2026 berhubung dakwaan petrol RON95 mengandungi bahan asing sehingga menyebabkan kerosakan enjin kenderaan pengguna di beberapa negeri, termasuk aduan kemungkinan pencemaran air di stesen minyak di Selangor.

Jelasnya, setakat 31 Oktober lalu, pemeriksaan dilakukan kementerian berkenaan meliputi sebanyak lapan jenama stesen minyak di lapan negeri serta tiga depoh syarikat minyak.
"Kementerian ini turut mengadakan sesi libat urus dengan Petron dan Chevron, pemilik jenama Caltex, secara berasingan pada 9 dan 21 Oktober 2026 bagi mengenal pasti punca sebenar kepada isu dakwaan pencemaran berkenaan," kata Armizan.
Kedua-dua syarikat tersebut juga menghantar sampel petrol RON95 dari stesen yang terbabit dalam aduan ke makmal masing-masing, termasuk makmal di luar negara, untuk menjalani ujian.
Dalam pada itu, Petron dan Caltex sudah memulakan langkah susulan termasuk menyediakan program pemulihan pelanggan menerusi bayaran bantuan atas dasar ihsan, tertakluk kepada kriteria ditetapkan tanpa sebarang pengakuan salah atau liabiliti pada peringkat ini.
Armizan berkata, bayaran itu akan diberikan kepada pelanggan yang mengemukakan aduan lengkap berserta dokumen sokongan sah, manakala kementerian akan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.
"Kementerian masih menjalankan penanda aras dengan Singapura, Britain dan Australia bagi meneliti serta memperkukuh piawaian dan mekanisme pemantauan kualiti serta kuantiti bahan api, termasuk ujian makmal bertauliah dan pelaporan pengguna yang lebih telus," katanya. - DagangNews.com






