
KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia akan mengeluarkan satu kenyataan dalam masa terdekat susulan pengampunan bersyarat dengan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Difahamkan kenyataan media itu akan dikeluarkan bagi menjelaskan perincian lanjut berhubung perkara itu.
“Kami (Jabatan Penjara) akan keluarkan kenyataan media petang ini,” katanya ringkas.
Terdahulu, Najib mendapat pengampunan bersyarat dengan beliau perlu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya membayar denda RM50 juta.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dilaporkan berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib.
Menurut kenyataan itu, pengampunan berkenaan membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda sebanyak RM50 juta.
“Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal.
“Beliau hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” katanya. – UTUSAN
The post Jabatan Penjara keluar kenyataan petang ini appeared first on Utusan Malaysia.






