
KUALA LUMPUR: Perkembangan baharu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendapat pengampunan bersyarat hari ini bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah disambut baik Pas.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkembangan itu bukan sahaja bermakna buat keluarga Najib, malah seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mengenang dan menghargai jasa serta khidmat bakti beliau sebagai pemimpin yang telah membawa pembangunan kepada negara dan kemakmuran kepada rakyat.
“Pas melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah dan merafak sembah menjunjung kasih ke Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Takiyuddin, Pas turut mendoakan agar Najib terus diberikan kesihatan yang baik sepanjang menjalani baki hukuman berkenaan.
Beliau berkata, parti itu yakin Najib masih mampu memberikan sumbangan melalui idea, pandangan dan pengalaman yang dimilikinya demi kebaikan negara.
“Pas seterusnya mendoakan agar Datuk Seri Najib terus diberikan kesihatan yang baik semasa menjalani baki hukuman terhadapnya di rumah dan yakin beliau masih boleh memberikan sumbangan idea, pandangan dan pengalamannya demi untuk kebaikan negara,” katanya.
Terdahulu, Najib mendapat pengampunan bersyarat bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Perkara itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim susulan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Pengampunan bersyarat itu bagaimanapun tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat-syarat yang ditetapkan.
Perkembangan berkenaan menjadi perkembangan terbaharu dalam kes Najib selepas beliau sebelum ini menjalani hukuman penjara susulan sabitan kesalahan berkaitan dana SRC International Sdn. Bhd. – UTUSAN
The post Pengampunan Najib amat bermakna untuk rakyat – Pas appeared first on Utusan Malaysia.




