
Hari ini (18 September) Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menjalani baki hukumannya secara tahanan di kediaman beliau sehingga 23 Ogos 2028.
Walau bagaimanapun, pengampunan itu bersyarat di mana beliau hendaklah membayar denda RM50 juta serta perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Agong Perkenan Pengampunan Bersyarat Kepada Najib, Jalani Baki Hukuman Secara Tahanan Di Rumah
Keputusan Lembaga Pengampunan mengenai hukuman kepada Najib Razak tak jejas prinsip kerajaan bagi kes rasuah & salah guna kuasa
Terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Keputusan Lembaga Pengampunan mengenai hukuman ke atas Najib Razak tidak menjejaskan prinsip kerajaan yang akan terus mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana kes rasuah serta salah guna kuasa.
Kata beliau, prinsip negara hukum yang menjadi pegangan kerajaan kekal serta tidak bermaksud negara perlu tunduk kepada amalan rasuah mahupun penyalahgunaan kuasa.
Memetik laporan Berita Harian, jelas Anwar semua kes rasuah termasuklah yang melibatkan Najib Razak yang masih berlangsung hendaklah diteruskan dengan mengikut landasan undang-undang.
Minta semua terima baik keputusan pengampunan Najib Razak, kuasa mutlak atas YDPA
“Tapi akhirnya, Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan saya harap kita semua terima baik.
“Selain daripada itu, saya nak tegaskan, prinsip negara hukum, keputusan kita mengambil tindakan kepada semua kes rasuah tidak tergugat, ini tidak bermakna negara harus tunduk kepada amalan penyakau dan rasuah,” ujar beliau.
Jabatan Penjara Malaysia akan keluarkan kenyatan untuk jelaskan perincian lanjut mengenai hukuman secara tahanan di rumah
Dalam pada itu, Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berkaitan pengampunan bersyarat Najib Razak bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Menerusi laporan Berita Harian, kenyataan dikeluarkan Jabatan Penjara Malaysia itu untuk menjelaskan berhubung perincian lanjut mengenai perkara tersebut.
“Kami (Jabatan Penjara) akan keluarkan kenyataan media (berhubung perkara itu) petang ini,” jelasnya.
PH adakan mesyuarat Majlis Presiden petang ini
Sementara itu Pakatan Harapan (PH) bakal melakukan mesyuarat Majlis Presidennya pada petang ini (18 September) untuk membincang beberapa isu yang berkaitan dengan perkembangan politik semasa.
Turut difahamkan, mesyuarat berkenaan bakal dipengerusikan Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH dan ia akan dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada pukul 5.30 petang.
Mesyuarat tersebut juga akan menyentuh tentang kedudukan BN dalam Kerajaan Perpaduan susulan ucapan Ahmad Zahid di PAU 2026 minggu lalu
Memetik Harian Metro, mesyuarat Majlis Presiden itu dipercayai akan menyentuh berhubung kedudukan Barisan Nasional (BN) di dalam Kerajaan Perpaduan.
Ia berikutan daripada kenyataan dikeluarkan oleh Pengerusi BN yang merupakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi ucapan beliau ketika penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2026) yang telah berlangsung minggu lalu.
Dalam ucapan tersebut, Ahmad Zahid telah mencabar mana-mana pihak yang mahu parti berkenaan menamatkan kerjasama di dalam Kerajaan Perpaduan agar membubarkan Parlimen untuk memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) mahupun mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Anthony Loke sebelum ini cadangkan kepada Anwar Ibrahim untuk buat mesyuarat Majlis Presiden PH
Pada 14 September lalu Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah mencadangkan kepada Anwar Ibrahim untuk mengadakan mesyuarat Majlis Presiden PH untuk membincangkan mengenai perkembangan terkini politik ekoran kenyataan yang dilakukan pada PAU 2026.
Jelas Loke kenyataan berkenaan turut menimbulkan kebimbangan berkaitan kepastian serta kestabilan politik negara yang berpotensi boleh menjejaskan keyakinan perlabur dan juga orang ramai, lapor Astro Awani.
“Sudah tentu kami melihat semua perkembangan ini dengan perhatian dan pertimbangan serius. Saya pasti akan meminta Perdana Menteri mengadakan mesyuarat Majlis Presiden PH untuk meneliti dan membincangkan perkembangan terkini sebaik sahaja beliau pulang dari luar negara.
“Beberapa kenyataan yang dibuat tidak baik dari segi kepastian dan kestabilan politik negara, seolah-olah parti komponen dalam kerajaan tidak menuju ke arah yang sama. Jadi perkara ini tidak memberi keyakinan kepada pelabur dan orang ramai. Perdana Menteri juga perlu memperjelas perkara ini dengan semua parti komponen,” jelasnya.






