Jaja cerita aib pasangan, mentua di Threads

Family & ParentingLifestyle
14 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jaja cerita aib pasangan, mentua di Threads

MASALAH rumah tangga dahulu selesai di balik pintu. Kini, belum sempat emosi reda, cerita sudah masuk Threads. Nama pasangan disebut, aib dibuka, tangkap layar perbualan dipamerkan dan orang luar pula sibuk menjadi hakim.

Tidak salah meluah apa terbuku di hati atau mencari sokongan ketika sedang terluka, tetapi hak untuk bersuara bukan lesen membuka segala rahsia. Ada beza antara mencari pertolongan dengan mencari ‘penonton’.

Apabila identiti, pekerjaan dan perbualan peribadi mula dipamerkan, luahan itu sudah berubah menjadi pendedahan. Begitu juga apabila keburukan pasangan dan mentua yang dianggap toksik mula dibuka kepada umum.

Persoalannya, berapa banyak maruah sanggup dikorbankan hanya untuk membuktikan diri berada di pihak yang benar?

Lebih menakutkan, ramai pula terus percaya. Satu hantaran dibaca, terus jatuh hukum. Pasangan dilabel narsistik, manipulatif atau toksik, malah mentua turut dilabel ‘toksik’, hanya berdasarkan cerita yang datang dari sebelah pihak.

Sedangkan dalam konflik rumah tangga, jarang ada cerita yang benar-benar hitam putih.

Apa yang dipaparkan mungkin hanya satu bahagian daripada pertelingkahan yang sudah lama berlaku. Kita tidak tahu apa yang berlaku sebelum kamera dihalakan dan sebelum cerita ditaip.

Istilah psikologi pula bukan senjata untuk memenangkan pertengkaran. Narsistik dan ‘gaslighting’ ada makna serta konteksnya. Jangan sesuka hati melabel seseorang hanya kerana mahu cerita sendiri kelihatan lebih meyakinkan.

Kemudian netizen datang menghukum. Yang tidak dikenali dicerca, yang tidak diberi ruang menjelaskan diri terus dipersalahkan. Satu hantaran sudah cukup untuk membentuk ribuan persepsi.

Media sosial juga memberi keberanian yang kadangkala tidak wujud di dunia nyata. Satu kemarahan ditaip, kemudian disambut komen, tanda suka dan perkongsian. Lama-lama, perhatian itu sendiri menjadi ganjaran.

Algoritma pula tidak peduli siapa yang terluka. Kandungan yang mengundang marah, simpati dan rasa ingin tahu lebih mudah mendapat perhatian. Akhirnya, konflik menjadi lebih ‘laku’ daripada penyelesaian.

Namun, jika melibatkan penderaan, ancaman atau keselamatan, mendapatkan bantuan memang wajar. Cuma bantuan tidak semestinya memerlukan seluruh kisah dibuka kepada umum. Dalam keadaan begini, yang diperlukan ialah pertolongan, bukan sorakan.

Yang lebih membimbangkan tentunya sikap kita sendiri. Kita membaca, percaya dan menghukum dalam beberapa minit, sedangkan kita tidak tahu apa yang berlaku di sebalik satu hantaran. Banyak komen tidak bermakna satu pihak pasti benar.

Ingatlah, rumah tangga bukan pentas dan Threads bukan mahkamah. Tidak semua masalah perlu dipamerkan kepada dunia. Jika maruah pasangan dan keluarga termasuk mentua dijadikan modal demi simpati dan perhatian, yang mendapat keuntungan akhirnya bukan manusia tetapi algoritma. Fikir-fikirlah!

 

The post Jaja cerita aib pasangan, mentua di Threads appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved