Jakim anjur solat hajat mohon perlindungan Al-Aqsa, keselamatan Malaysia berkaitan jerebu

LocalEnvironment
21 Oct 2026 • 12:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jakim anjur solat hajat mohon perlindungan Al-Aqsa, keselamatan Malaysia berkaitan jerebu
Jakim akan menganjurkan solat hajat di tiga masjid utama seliaannya selepas solat Jumaat minggu ini. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan solat hajat di tiga masjid utama seliaannya selepas solat Jumaat minggu ini bagi memohon perlindungan ALLAH SWT untuk Masjid Al-Aqsa di Palestin serta keselamatan Malaysia daripada musibah jerebu.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan hari ini berkata, masjid terlibat ialah Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.

Beliau berkata, penganjuran itu bagi menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah serta seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan agar umat Islam melaksanakan solat hajat dan memanjatkan doa berhubung dua perkara tersebut.

Sirajuddin berkata, bacaan doa khusus akan diadakan bagi memohon agar Masjid Al-Aqsa terus dilindungi daripada pencerobohan dan kezaliman serta Malaysia dipelihara daripada bencana jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

"Umat Islam diseru agar bersama-sama mengimarahkan masjid, memperkukuh kesatuan ummah dan memperbanyakkan doa agar ALLAH SWT mengurniakan perlindungan, keselamatan dan rahmat kepada saudara kita di Palestin serta seluruh rakyat Malaysia.

"Semoga usaha ini menjadi wadah yang menyatukan hati umat Islam dalam menghayati tanggungjawab bersama, memperteguh solidariti terhadap Palestin dan memohon kesejahteraan buat negara yang kita cintai,” katanya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved