
PETALING JAYA – Kontroversi drama bersiri Madu atau Racun memasuki perkembangan baharu apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kandungannya yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan norma masyarakat.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya sedang memantau rapat isu berkenaan berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam.
Menurutnya, JAKIM akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk MCMC dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
“JAKIM akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan termasuk MCMC dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil selaras dengan bidang kuasa dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sirajuddin berkata, JAKIM turut menyokong ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan yang sebelum ini menolak penayangan drama terbabit susulan keresahan yang timbul dalam kalangan masyarakat.
Katanya, pendirian itu wajar memandangkan kandungan drama yang ditayangkan menerusi platform penstriman iQIYI didakwa mempunyai elemen bercanggah dengan nilai agama, budaya serta fitrah insan.
Kontroversi tercetus selepas beberapa babak dalam drama bersiri 12 episod arahan Eyra Rahman itu menjadi perdebatan di media sosial kerana didakwa memaparkan unsur pelakuan hubungan sejenis.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang memaklumkan FINAS bersama Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) serta JAKIM akan mengadakan pertemuan bagi mendapatkan penjelasan menyeluruh mengenai kontroversi itu.
Fahmi menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap kandungan penerbitan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum, selain mengingatkan kebebasan berkarya perlu diseimbangkan dengan sensitiviti budaya masyarakat Malaysia.
Pada masa sama, syarikat produksi drama berkenaan, MIG Production House tampil memohon maaf dan mengakui terdapat babak yang dilihat keterlaluan untuk tontonan umum serta menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat.
“Kami memohon maaf dan menghormati pandangan semua pihak dan akan memperbaiki karya kami akan datang dan seterusnya mengambil teguran ini sebagai satu pengajaran besar,” menurut kenyataan syarikat produksi itu.
MIG turut menegaskan pihaknya tidak mempunyai niat untuk menyentuh atau memperlekehkan mana-mana pihak mahupun sengaja mencetuskan kontroversi menerusi karya berkenaan.
Syarikat itu berkata, setiap teguran yang diterima akan dijadikan pengajaran dalam menghasilkan karya pada masa akan datang.
Drama Madu atau Racun yang baru memasuki episod keempat menjadi perhatian sejak beberapa hari lalu selepas beberapa babaknya mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, sekali gus membawa kepada campur tangan beberapa agensi kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan.
The post JAKIM lapor MCMC isu ‘Madu atau Racun’, MIG mohon maaf appeared first on MYBERITA.





