
PETALING JAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama ‘Madu atau Racun’ selepas didakwa mempunyai unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) justeru itu bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam menyemak kandungan bahan penyiaran serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam.
Katanya, langkah itu bagi memastikan kandungan drama dan bahan penyiaran lain tidak bercanggah dengan prinsip syariah dan akhlak, selain memelihara kesucian agama Islam.
“Kami menegaskan bahawa prinsip ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama, manakala pemaparan gaya hidup songsang adalah bertentangan sama sekali dengan nilai murni tersebut.
“Justeru itu Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama Madu atau Racun yang telah menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat.
“Kami amat kesal atas tindakan menyerapkan elemen menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.
“Penerapan unsur-unsur bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran ini perlu dibendung agar pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Drama Madu Atau Racun menerima respons pelbagai daripada pengguna media sosial apabila menampilkan karakter Nikita yang menyukai kaum sejenis dan berusaha menyelamatkan madunya, Azura, daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Dalam pada itu Zulkifli berkata, pihaknya amat kesal atas tindakan menerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.
Beliau berkata, pihaknya menyeru semua penggiat seni, penerbit, dan stesen penyiaran agar sentiasa peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi ditetapkan sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya mendidik jiwa dan membina sahsiah bangsa.
“Industri seni dan platform media sepatutnya dimanfaatkan sebagai medium menyemaikan nilai-nilai kebaikan, bukannya mencetuskan polemik yang menjejas keharmonian norma masyarakat.
“Kepada seluruh umat Islam, marilah kita bersama-sama mempertahankan kesucian agama dan akhlak dengan penuh ketaatan serta kebijaksanaan,” katanya. – UTUSAN
The post JPM Agama tolak ‘Madu atau Racun’ didakwa bawa unsur bertentangan agama Islam appeared first on Utusan Malaysia.





