PJBumi rancang jana dana RM31 juta biayai pembelian pelantar penggerudian minyak

LocalBusiness & Finance
16 Oct 2026 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PJBumi rancang jana dana RM31 juta biayai pembelian pelantar penggerudian minyak Image from: PJBumi rancang jana dana RM31 juta biayai pembelian pelantar penggerudian minyak amree16/10/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Okt — PJBumi Berhad mencadangkan penempatan persendirian sehingga 10% sahamnya bagi mengumpul dana RM31.1 juta untuk membiayai kontrak sedia ada dan akan datang, ketika kumpulan mengakui langkah itu belum dapat menyelesaikan sepenuhnya isu kewangannya.

 

Syarikat berkenaan memaklumkan Bursa Malaysia bahawa dana tersebut dijangka dapat membantu dalam mengurangkan tekanan kewangan, selain menyokong usaha pembangunan aliran hasil baharu melalui perbelanjaan bagi projek tertentu dan peralatan operasi kumpul.

 

Daripada jumlah kutipan disasarkan, RM21.3 juta diperuntukkan untuk membeli pelantar penggerudian minyak baharu, manakala RM4 juta bagi menyokong projek pembinaan di Sungai Petani, Kedah. Baki dana pula disalurkan kepada modal kerja dan perbelanjaan berkaitan penempatan saham.

 

"Cadangan ini dikemukakan kira-kira seminggu selepas Bursa Malaysia meluluskan permohonan PJBumi melaksanakan pecahan saham pada nisbah satu saham kepada lima saham, namun ia masih memerlukan kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan (AGM)," katanya.

 

Penempatan persendirian tersebut ujar kumpulan itu akan melibatkan pelabur pihak ketiga bebas yang akan dikenal pasti kemudian dan boleh dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan selepas kelulusan diperoleh daripada pihak Bursa sendiri.

 

Jumlah saham yang diterbitkan melalui penempatan itu bergantung pada pelaksanaan pecahan saham. Ia boleh melibatkan sehingga 8.2 juta saham sebelum pecahan atau 41 juta saham selepas pecahan, berdasarkan kepada struktur modal yang dinyatakan syarikat.

 

PJBumi_DagangNews2026

 

PJBumi menetapkan harga saham penempatan tidak boleh didiskaunkan melebihi 10% daripada purata harga pasaran berwajaran volum lima hari (VWAP) sebelum tarikh penetapan harga. Mandat umum daripada AGM pada 5 Disember 2025 masih berkuat kuasa sehingga AGM berikutnya.

 

"Setakat 13 Oktober 2026, syarikat ada baki kontrak berjumlah RM120.9 juta, meliputi lima projek termasuk di Indonesia merentasi segmen produk dan perkhidmatan minyak dan gas (O&G), kemudahan pengurusan sisa, pembangunan hartanah serta kejuruteraan digital dan telekomunikasi," katanya.

 

Menurut syarikat, penempatan saham membolehkannya meraih dana tanpa menanggung perbelanjaan faedah pinjaman bank. Bagaimanapun, ia mengakui langkah itu tidak menyelesaikan sepenuhnya isu kewangan dan hanya mengurangkan sebahagian tekanan melalui pembiayaan perbelanjaan operasi.

 

Setakat akhir Jun 2026, PJBumi mempunyai tunai dan kesetaraan tunai sebanyak RM151,000 serta tidak memiliki sebarang pinjaman bank. Cadangan penempatan itu dijangka membantu dalam membiayai keperluan operasi dan pelaksanaan projek yang dirancang.

 

Saham kumupulan ini ditutup turun satu sen atau 0.24% kepada RM4.21 pada dagangan 15 Oktober 2026, memberikan permodalan pasaran RM345.2 juta. Saham itu meningkat 57.1% sepanjang tempoh setahun lalu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved