Jalaluddin nafi mahu jatuhkan Menteri Besar

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 5:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jalaluddin nafi mahu jatuhkan Menteri Besar
Jalaluddin

SEREMBAN – Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menafikan dakwaan kononnya beliau mempunyai agenda untuk menjatuhkan Menteri Besar atau Institusi Diraja Negeri Sembilan.

Beliau berkata, adalah tidak berasas untuk beliau melakukan perkara seumpama itu selepas Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

"Pilihan raya dah selesai dan saya pun tidak memegang jawatan Menteri Besar selain sudah nyatakan hasrat tidak mahu menerima sebarang jawatan Exco.

"Jadi, apa lagi masalahnya? Kenapa berterusan tuduh saya? Kalau betul segala dakwaan dinyatakan, tunjukkanlah bukti," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan dirinya terlibat dalam usaha memaksa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim untuk menandatangani dokumen menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang itu berkata, keputusan seramai 14 ADUN BN-UMNO menarik sokongan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar sebelum ini disebabkan telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan beliau dalam mengemudi pentadbiran negeri susulan krisis institusi adat yang sedang berlaku.

Tegasnya, ia tiada kaitan langsung untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan seperti mana tuduhan sesetengah pihak.

"Tak payahlah ambil kesempatan, buat tuduhan melulu dan sebagainya. Hentikanlah.

"Tidak akan saya nak runtuhkan kerajaan yang telah saya perjuangkan selama ini?Saya gembira hasrat memastikan BN memimpin semula Negeri Sembilan sudah tercapai. Itu matlamat utama saya," katanya.

Beliau berkata, selepas kerajaan baharu dibentuk, semua pihak sepatutnya memberi tumpuan kepada tugas masing-masing dan memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.

Jalaluddin sekali lagi turut menegaskan bahawa beliau menerima dengan hati terbuka tidak dilantik sebagai Menteri Besar dan meminta semua pihak memberi sokongan penuh kepada Datuk Ismail Lasim sebagai menteri besar baharu.

"Apa yang paling penting, saya akan berusaha berkhidmat sebaik mungkin kepada penduduk DUN Pertang selepas mereka sekali lagi memberi mandat kepada saya sebagai wakil rakyat," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved