Jalan Lojing retak, tahap keselamatan perlu dinilai segera

24 Oct 2026 • 4:27 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jalan Lojing retak, tahap keselamatan perlu dinilai segera

GUA MUSANG – Pihak berkuasa digesa menilai segera tahap keselamatan Jalan Gua Musang-Lojing (FT185) berhampiran Yayasan Albarakah, di Tanah Tinggi Lojing di sini yang mengalami keretakan di beberapa lokasi bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh atau mendapan jalan ketika musim hujan.

Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng berkata, aduan komuniti setempat dan pengguna jalan raya perlu diberi perhatian segera bagi memastikan struktur jalan berkenaan masih selamat digunakan.

Katanya, kepakaran teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) diperlukan untuk mengenal pasti risiko di lokasi terjejas serta mengambil langkah awal bagi mengelakkan keretakan menjadi lebih serius sehingga mencetuskan runtuhan.

“Setiap tahun kita tahu apabila tiba musim tengkujuh, kejadian tanah runtuh dan keretakan jalan boleh berlaku. Sebab itu kita mengharapkan kepakaran JKR untuk memastikan jalan perhubungan Gua Musang ke Cameron Highlands dan Ipoh selamat digunakan.

“Sekiranya hasil kajian mendapati laluan itu tidak selamat, pihak berkuasa perlu mencari alternatif lain kerana jalan berkenaan sentiasa digunakan oleh orang ramai,” katanya ketika ditemui di Tanah Tinggi Lojing di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk Orang Asli, Jamly Ahan, 59, berkata, keadaan jalan dari kawasan kolam air panas dekat simpang Pos Hendrop hingga ke Jalgek antara lokasi yang perlu diberi perhatian berikutan keretakan yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan pengguna.

Katanya, keadaan itu membimbangkan kerana hujan berterusan berpotensi menjejaskan kestabilan tanah selain pergerakan kenderaan berat termasuk lori balak di laluan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

 

The post Jalan Lojing retak, tahap keselamatan perlu dinilai segera appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved