Perpaduan Nasional Bukan Sekadar Kibar Jalur Gemilang - Sultan Sharafuddin

LocalPolitics
26 Aug 2026 • 2:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Perpaduan Nasional Bukan Sekadar Kibar Jalur Gemilang - Sultan Sharafuddin

SHAH ALAM - Makna sebenar kemerdekaan bukan diukur melalui jumlah Jalur Gemilang yang dikibarkan, sebaliknya terletak pada keupayaan negara memastikan setiap rakyat berasa dihormati, diterima dan bangga menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, Jalur Gemilang seharusnya menjadi simbol yang mengingatkan seluruh rakyat bahawa mereka tetap bersatu sebagai satu bangsa meskipun berbeza kaum, agama, bahasa, pegangan politik dan latar belakang.

Baginda terdahulu memperkenankan Jalur Gemilang dikibar di Dataran Selangor bermula hari ini hingga 17 September sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Sultan Sharafuddin selepas menyempurnakan majlis menaikkan Jalur Gemilang di Dataran Selangor bertitah, bendera kebangsaan itu adalah milik setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama.

“Walaupun kita berbeza dari segi kaum, agama, bahasa, pegangan politik dan latar belakang, Jalur Gemilang mengingatkan kita bahawa kita tetap rakyat kepada negara yang sama,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, ribuan bendera mungkin boleh dikibarkan sepanjang bulan kebangsaan, namun cabaran sebenar adalah membina sebuah negara yang benar-benar membuatkan setiap rakyat berasa dihormati, diterima dan bangga menjadi sebahagian daripadanya.

Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin turut menyeru agar generasi muda dididik untuk menghormati kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan Malaysia.

Baginda juga mengingatkan para pemimpin supaya menampilkan sifat rendah diri, bertoleransi dan berbelas ihsan, bukannya menjadikan perbezaan sebagai alat untuk memecah-belahkan masyarakat.

“Kemerdekaan bukan sekadar untuk diraikan dan bendera bukan sekadar untuk dikibarkan.

“Nilai sebenar kedua-duanya terletak pada keupayaan kita mempertahankan sebuah negara yang membolehkan rakyatnya hidup bersama dalam aman, saling menghormati dan terus bersatu,” titah baginda. - Getaran, 26 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved